Kemalangan di KM 40, Lebuhraya  KL-Karak menyebabkan kesesakan. FOTO ihsan pembaca
Kemalangan di KM 40, Lebuhraya KL-Karak menyebabkan kesesakan. FOTO ihsan pembaca
RoselanAb Malek


Kuala Lumpur: Kemalangan membabitkan sembilan kenderaan di Kilometer 40, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, pada jam 9.30 pagi tadi menyebabkan kesesakan teruk lebih sejam di lebuh raya berkenaan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas sebuah treler jenis Volvo, yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan, gagal mengawal kenderaannya.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata akibat daripada kegagalan pemandu itu, beberapa kenderaan dirempuh lori berkenaan.

"Pemandu lori mengalami kecederaan ringan pada bahagian lengan kanan dan dahi manakala pemandu-pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan ini membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV), jenis Mitsubishi dan Toyota Estima, lima kereta jenis Perodua Axia, Perodua Myvi, BMW, Toyota Vios dan Proton Saga; sebuah kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Toyota Hilux dan lori berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaiham berkata kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 5:04 PM