Shamsul Munir Safini


BAS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa 29 individu termasuk 24 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses reman di Mahkamah Majistret Georgetown terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 8.50 pagi tadi, bas dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Georgetown itu mengalami kerosakan di bahagian enjin dan terbakar di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.59 pagi dan pihaknya hadir dengan satu jentera dari Balai Bomba Jalan Perak.

Beliau berkata, sebaik sampai di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan menggunakan pemadam api oleh kakitangan SPRM.

Katanya, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya sejurus selepas itu.

Menurutnya, kesemua suspek berkenaan kemudian dibawa menaiki 10 kereta ke Mahkamah Majistret Georgetown.

Semalam Harian Metro melaporkan SPRM tahan 31 individu termasuk 23 penguatkuasa JPJ melindungi sindiket 'lori kebal'.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, kesemua mereka dipercayai melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun dan ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara 10 pagi hingga 4 petang semalam.

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita terbabit adalah orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Kesemua pegawai penguatkuasa JPJ Pulau Pinang daripada gred 19 hingga 32 berkenaan dipercayai menerima bayaran berjumlah kira-kira RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terbabit selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 10:37 AM
BAS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa 29 individu termasuk 24 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses reman di Mahkamah Majistret Georgetown terbakar, hari ini. FOTO Ihsan SPRM
BAS Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa 29 individu termasuk 24 penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk proses reman di Mahkamah Majistret Georgetown terbakar, hari ini. FOTO Ihsan SPRM