ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dipandunya. FOTO Juwan Riduan
ANGGOTA bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta dipandunya. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya digilis lori dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di jalan bertingkat Lido di Jalan Lintas, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa Nicolette Hannah George, 26, yang memandu kereta Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa beralamat di Kampung Babah, Penampang bekerja di sebuah syarikat swasta di Kepayan 88.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tujuh kenderaan.

Katanya, kenderaan terbabit iaitu dua lori dan lima kenderaan jenis Perodua Bezza, Myvi, Toyota Vios, Proton Saga dan Iriz.

"Kemalangan dipercayai apabila lori melanggar sebuah kenderaan di hadapannya hingga menyebabkan kenderaan yang paling belakang tersepit di bawah lori.

"Akibat kejadian itu, pemandu kereta Perodua Bezza tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya belum menerima lain-lain mangsa yang terbabit sama ada cedera ataupun tidak.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 10:47 PM