PASUKAN pengurusan jenazah pesakit Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membaca  doa selepas menguruskan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, semalam.
PASUKAN pengurusan jenazah pesakit Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membaca doa selepas menguruskan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, semalam.

Kuala Lumpur: Malaysia semakin diasak mimpi ngeri lonjakan 10 ribu kes harian baharu selepas tiga hari berturut-turut mencatat kes melepasi tujuh ribu pada Selasa, Rabu dan kelmarin serta lebih 8,000 kes, semalam.

Ini ditambah penularan varian baharu Covid-19 (VOC) yang lebih ganas serta kluster baharu yang terus dilaporkan berlaku terutama di tempat kerja yang semakin membimbangkan.

Di sebalik penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei 2021, 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan sehingga 26 Mei 2021 dan lebih separuh (62 kluster) melibatkan sektor pengilangan.

Kelmarin, 20 kluster baharu dilaporkan dan tujuh daripadanya kluster tempat kerja kebanyakannya kilang.

Sementara itu, setakat 23 Mei lepas, negara mencatat 12 kes baharu varian Afrika Selatan B.1.351 di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Johor, menjadikan jumlahnya 78 kes. Satu kes baharu varian India B.1.617 dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan, menjadikan jumlah enam kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat VOC sebagai kebimbangan global iaitu United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

WHO baru-baru ini menyatakan Varian B1617 (India) setakat ini ditemui di 60 wilayah dan negara sementara Varian B117 ditemui di 149 negara dan wilayah, B1351 pula dikesan di 102 negara dan wilayah manakala varian dari Brazil dikenal pasti di 59 negara dan wilayah.

Sehingga jam 12 tengah hari Khamis, Malaysia menambah 7,857 lagi kes harian baharu Covid-19, yang tertinggi sejak kes positif pertama Covid-19 dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Selangor kekal penyumbang terbesar 2,675 kes, diikuti Sarawak 772 kes dan Kelantan 754 kes. Pada Selasa 25 Mei, kes harian baharu Covid-19 direkod 7,289 kes sementara pada Rabu 26 Mei, meningkat kepada 7,478 kes. Pada kedua-dua hari ini, Selangor menyumbang kes harian baharu terbanyak iaitu 2,642 kes (Selasa) dan 2,455 kes (Rabu).

Kes kumulatif direkod kelmarin adalah 541, 224 kes sementara kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 menghampiri 70 ribu iaitu 69,408 kes.

Berikut rekod kes harian baharu dicatat dari 22 Mei hingga 27 Mei 2021: 22 Mei (6,320 kes), 23 Mei ( 6,976 kes), 24 Mei ( 6,509 kes), 25 Mei (7,289 kes), 26 Mei ( 7,478 kes ) dan 27 Mei (7,857 kes).

Bilangan pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) terus meningkat, begitu juga bilangan pesakit memerlukan bantuan pernafasan. Setakat Khamis 27 Mei 2021, 771 kes direkod di ICU dan 392 perlu bantuan pernafasan.

Sebagai langkah siap siaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa meminta hospital swasta menambah katil ICU selain menggunakan Ordinan Darurat Seksyen 3 iaitu mengambil alih hospital baharu belum digunakan seperti Hospital Cyberjaya dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merawat pesakit Covid-19.

Dengan 541,224 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 41 dalam senarai 216 buah negara dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Nepal dengan 542,256 kes dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 563,215 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan akhbar KPK mengenai Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19) di Malaysia pada Khamis 27 Mei 2021 melaporkan 59 lagi kes kematian, menjadikan kes kumulatif 2,491 kes. Semua kes melibatkan warganegara.

Daripada 59 kes, 19 kes di Selangor, sembilan kes di Sarawak, tujuh kes di Johor, enam kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lima kes di Kelantan, empat kes di Negeri Sembilan, tiga kes di Pulau Pinang, dua kes di Kedah, serta masingmasing satu (1) kes di Sabah, Melaka, Perak, dan Terengganu.

Kes tertinggi kematian direkod pada Rabu 26 Mei 2021 iaitu 63 kes terdiri daripada 57 warganegara dan enam bukan warganegara. Daripada jumlah itu, kes mayat dibawa ke hospital (Brought In Dead/BID) 12 kes. Menurut KKM, kes BID merujuk kepada kes kematian di luar hospital dan kematian ini disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat.

Pada 25 Mei, pesakit Covid-19 paling muda dilaporkan meninggal dunia pada hari berkenaan berusia tiga tahun dari Sabah yang juga menghidap leukemia.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021. Larangan rentas daerah dan negeri dikuatkuasakan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan, penularan tempatan kes Covid-19 di Malaysia melibatkan warganegara masih pada kadar 90 peratus.

Rekod KKM kelmarin menunjukkan daripada 7,857 kes baharu, 7,849 adalah kes penularan tempatan sementara lapan kes lagi kes import (2 warganegara dan 6 bukan warganegara).

Sebanyak 93.5 peratus daripada kes penularan tempatan atau 7,340 melibatkan warganegara dan 509 kes (6.5 peratus) bukan warganegara. Dua minggu selepas sambutan Aidilfitri iaitu sehingga 25 Mei 2021, KKM merekodkan 12 kluster komuniti (sub-kluster hari raya) melibatkan tujuh buah negeri.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster itu melibatkan 470 kes Covid-19 daripada 2,541 individu yang disaring.

Satu kes dilaporkan meninggal dunia melibatkan Kluster Jalan Tahir Manan di Selangor dan dua kes di ICU, melibatkan Kluster Simpang Sahari di WP Labuan.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes berkaitan kluster hari raya dijangka bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri.

PETUGAS melakukan urusan pengebumian pada waktu malam.
PETUGAS melakukan urusan pengebumian pada waktu malam.

Sementara itu, sehingga Khamis 27 Mei 2021, 20 kluster baharu dilapor dan butiran kluster baharu seperti berikut:-

22 Mei - 17 kluster ( 7 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 2 kluster keagamaan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

23 Mei - 24 kluster (9 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 6 kluster keagamaan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

24 Mei - 20 kluster (8 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan, 1 satu kluster pendidikan, 1 kluster import dan 1 kumpulan berisiko tinggi)

25 Mei - 15 kluster (10 kluster tempat kerja, 4 kluster komuniti, 1 kluster agama)

26 Mei - 22 kluster (13 kluster tempat kerja, 6 kluster komuniti, 3 kluster agama.

27 Mei - 20 kluster (7 kluster tempat kerja, 8 kluster komuniti, 3 kluster keagamaan, 1 kluster pendidikan dan 1 kluster pusat tahanan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 9:00 AM