Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Pembalakan yang baik untuk harimau hanya membabitkan pembalakan terpilih dan ia mungkin sesuai jika dilakukan setengah abad lalu, kata Pengerusi Persatuan Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr Kevin Lazarus.

Pengarah Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) itu berkata, situasi pembalakan terpilih iaitu tanpa menebang seluruh hutan termasuk tumbuhan renek sememangnya dapat menarik kedatangan mangsa dalam kalangan haiwan herbivor.

Katanya bagaimanapun, keadaan sudah jauh berbeza berbanding 50 tahun lalu apabila kawasan hutan sedia ada sangat terhad bahkan dianggap terpencil untuk menjadi kawasan legar (roaming) harimau.

Beliau berkata, seekor harimau jantan memerlukan kawasan berlegar seluas 250 hingga 300 kilometer persegi yang di dalamnya dapat memuatkan sehingga empat harimau betina dengan kawasan berlegar sehingga 90 kilometer persegi untuk hidup.

"Mungkin kalau 50 hingga 60 tahun lalu di mana masih ada banyak kawasan hutan dijaga dengan baik, pembalakan terpilih untuk harimau.

"Namun kawasan hutan yang ada sekarang sangat terhad. Jadi mungkin tidak sesuai jika mengatakan pembalakan akan bantu untuk harimau hidup memandangkan kawasan mereka sudah kecil dan terpencil sekali gus menyebabkan haiwan berkurang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media kejayaan program pembiakan dan konservasi serta pencapaian ZTNS sepanjang 2021 dan 2022 di Zoo Taiping di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taioing (MPT), Khairul Amir Mohamed Zubir.

Dr Kevin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah yang mendakwa aktiviti pembalakan di negeri berkenaan tidak menjejaskan populasi harimau namun sebaliknya baik untuk pertambahan populasi haiwan itu berpandukan kepada kajian yang dibuat seorang pakar dari Sarawak.

Terdahulu, Tabung Hidupan Liar (WWF) dalam kenyataan sebelum ini menegaskan pembalakan baik untuk harimau hanyalah membabitkan pembalakan terpilih iaitu hanya menebang sebilangan pokok tertentu setiap tahun dalam petak hutan yang mana ia tidak merangkumi pembalakan secara sembarangan dengan menebang seluruh hutan sekali gus.

Dalam pada itu, Dr Kevin berkata, kini semua zoo di Malaysia sedang menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam mendapatkan butiran terperinci menerusi kajian genetik terhadap hubung kait atau persaudaraan antara semua harimau yang terdapat di zoo dengan rekod jabatan itu

Katanya, perolehan data menerusi kajian itu penting untuk jangka masa panjang termasuk digunakan bagi program pembiakan.

"Melaluinya, kita akan tahu dari segi hubung kait atau persaudaraan antara harimau sedia ada dalam 'koleksi' zoo dengan Perhilitan yang mana menerusinya juga kita akan tahu yang mana pasangan sesuai untuk dijadikan baka pembiakan.

"Bagaimanapun perlu ditegaskan bahawa program pembiakan secara ex-situ atau dalam kurungan ini hanya sokongan atau sekunder kepada konservasi harimau Malaya di habitatnya yang semulajadi," katanya.

Dr Kevin berkata, sehingga kini ZTNS menempatkan empat Harimau Belang Malaya (panthera tigris) iaitu seekor harimau betina bersama tiga anaknya yang merangkumi seekor jantan dan dua betina.

Sebelumnya, Khairul Amir turut berkongsi mengenai kejayaan program pembiakan di Zoo Taiping sepanjang tahun lalu sehingga kini termasuk kelahiran seekor anak gajah betina yang diberi nama 'Pinang' pada 1 Januari lalu.

"Selain itu, terdapat beberapa lagi kelahiran baharu antaranya Rusa Ubi (3), Rusa Bawean (1) Burung Tiong Mas (2), Burung Botak Upeh (13), Nyala (1), Landak Raya (1), dan Burung Keria Mahkota (2).

Khairul Amir berkata lagi, Kera Hantu Spektral adalah spesis unik dan endermik turut menjadi tarikan baharu di Zoo Taiping apabila sepasang haiwan itu baharu sahaja dipamerkan di samping beberapa lagi tambahan kemasukan spesis sedia ada.

Katanya, pameran pasangan spesis Kera Hantu itu sekali gus menjadikan Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) merupakan satu-satunya zoo di Malaysia yang mempamerkan spesis itu dalam pameran," katanya.

Dr Kevin Lazarus. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Dr Kevin Lazarus. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 4:47 PM