Mohamed Farid Noh


Kota Tinggi: Presiden MCA,Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dijangka kekal bertanding di Parlimen Ayer Hitam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali, berkata, bahagian berkenaan akan memberi sokongan penuh kepada Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

"Ya betul, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sudah hampir pasti mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam.

"UMNO Bahagian Ayer Hitam memberi laluan kepada Ka Siong untuk terus bertanding atas sebab beliau adalah penyandang dan sudah berkhidmat di kerusi itu sejak empat penggal lalu dengan cemerlang," katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas melancarkan kapal pukat tunda besi pertama yang dikeluarkan syarikat tempatan di perairan Tanjung Buai, di sini, hari ini.

SAMSOLBARI (tengah) pada perasmian kapal pukat tunda besi pertama yang dikeluarkan syarikat tempatan di perairan Tanjung Buai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAMSOLBARI (tengah) pada perasmian kapal pukat tunda besi pertama yang dikeluarkan syarikat tempatan di perairan Tanjung Buai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Pada PRU-14 lalu, Ka Siong mempertahankan kerusi Parlimen Ayer Hitam dengan majoriti tipis 303 undi, menewaskan pencabarnya Liew Chin Tong, yang juga Pengerusi DAP Johor.

Dalam pada itu, Samsolbari yang juga Setiausaha UMNO Johor berkata, Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan berusaha habis-habisan memenangkan calonnya termasuk Ka Siong di Parlimen Ayer Hitam.

"UMNO Bahagian Ayer Hitam memberikan komitmen sepenuhnya bagi membantu Ka Siong pertahakan kerusi Ayer Hitam.

"Kita ada mendengar Pakatan Harapan (PH) akan menurunkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat (CEC).

"Sheikh Umar nampaknya berhajat menjadi 'giant killer,' namun UMNO Ayer Hitam ingin mengucapkan selamat datang dan selamat maju jaya.Kami akan mempertahan Ayer Hitam dengan lebih gigih kali ini," katanya.

WEE Ka Siong
WEE Ka Siong

Dalam pada itu, Samsolbari berkata, walaupun Parlimen Ayer Hitam mempunyai komposisi 58 peratus pengundi Melayu, 35 peratus pengundi Cina dan tujuh peratus India, namun pengundi kawasan itu sudah tentu akan mengundi parti yang menawarkan kestabilan dan kemakmuran.

"Itulah yang ditawarkan BN. Bagaimanapun, kita tidak memandang rendah kemampuan calon lain termasuk PH dan Perikatan Nasional (PN).

"Ini kerana jumlah pengundi baharu di Parlimen Ayer Hitam meningkat mendadak kepada kira-kira 61,000 orang berbanding hanya kira-kira 40,000 pada PRU14.

"Pertambahan 21,000 pengundi baharu termasuk generasi muda adalah cabaran besar bukan sahaja kepada BN malah semua parti yang perlu berusaha lebih gigih menarik perhatian mereka untuk menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 3:33 PM