Ahli MCC dan KKCK ketika memberi sumbangan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Ahli MCC dan KKCK ketika memberi sumbangan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris

Gua Musang: Perjalanan sejauh 220 kilometer diredah ahli dua badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengagih bantuan kepada 150 penerima di tiga perkampungan Orang Asli, hari ini.

Ia membabitkan Rumah Inap Orang Asli (Rika), Transit Kuala Betis dan Kampung Podek, di sini.

Presiden Malaysian Craft Council (MCC) Nik Faiz Nik Amin berkata, agihan berkenaan memfokuskan kepada penggiat seni atau kraftangan dalam kalangan etnik itu.

Menurutnya, bantuan itu juga disokong oleh Maybank Foundation serta NGO Pusaka bagi meringankan beban masyarakat Orang Asli yang turut terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

"Walaupun menempuh perjalanan jauh dan mencabar, kami menganggap tugasan itu satu pengalaman baharu berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu di kawasan luar.

"Agihan akan diteruskan di masa akan datang bersama NGO lain dan ia diharapkan dapat menampung sedikit sebanyak keperluan mereka," katanya ketika ditemui, di sini.

Rombongan konvoi 10 kenderaan itu turut disertai Pengerusi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK), Pui Tiong Lam dan wakil dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, setakat tahun lalu, pihaknya sudah membuat agihan kepada kira-kira 1,000 penerima di seluruh Kelantan.

Penduduk Orang Asli, Empot Angkai, 29, berkata mereka berterima kasih dengan sumbangan itu dan menyifatkannya memberi makna besar.

Menurutnya, bantuan makanan itu tiba pada waktu sesuai di saat dia tidak dapat bekerja.

"Saya bekerja di ladang kelapa sawit dan memandangkan isteri bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi, saya tidak dapat keluar bekerja.

"Walaupun sepanjang berada di Rika ini makan minum kami disediakan percuma, bantuan makanan seperti ini dapat digunakan sebaik dibenarkan pulang ke rumah di Pos Bihai nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 7:10 PM