Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Meredah hutan belantara yang memakan masa lebih lima jam tidak mematahkan semangat ahli badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) untuk mengagihkan sumbangan di perkampungan Orang Asli di Kampung Keluak, di sini, hari ini.

Memulakan perjalanan dari Kota Bharu dengan memasuki ladang getah dan kelapa sawit di Ladang Sokor, Tanah Merah sebelum meredah laluan curam dan berselut, konvoi tujuh kenderaan pacuan empat roda membawa muatan barang makanan, pakaian serta telekung solat untuk 19 penduduk Orang Asli.

Ketibaan konvoi yang turut disertai Persatuan Cakna Kasih disambut enam keluarga Orang Asli daripada kaum Menrid diketuai Penghulunya, Kamal Gadung, 42.

Presiden KKCK, Pui Tiong Lam berkata, agihan di perkampungan itu dipilih berikutan lokasinya yang terpinggir dan menyukarkan bantuan daripada mana-mana pihak.

"Kami membawa barangan sumbangan KKCK dan Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) berupa barang makanan, pakaian dan telekung solat kerana semua enam keluarga Orang Asli di sini beragama Islam.

"Sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka terutama dalam menyambut kedatangan Ramadan tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, agihan yang sama akan diteruskan ke lokasi pedalaman lain dalam masa terdekat dan diharapkan ada pihak lain dapat menjalankan bantuan sama sekali gus membantu asnaf.

AHLI KKCK dan Persatuan Cakna Kasih membawa barangan sumbangan berupa makanan, pakaian dan telekung solat untuk penduduk Orang Asli di Kampung Keluak. FOTO Siti Rohana Idris
AHLI KKCK dan Persatuan Cakna Kasih membawa barangan sumbangan berupa makanan, pakaian dan telekung solat untuk penduduk Orang Asli di Kampung Keluak. FOTO Siti Rohana Idris

Rombongan konvoi diiringi anggota Balai Polis Kuala Krai diketuai Ketua Balai, Asisten Superintendan Wan Azizi Wan Ahmad yang turut meneruskan perjalanan ke Kampung Bahagia untuk agihan kepada beberapa penerima yang terdiri daripada golongan asnaf.

Sementara itu, Kamal berkata, sumbangan itu sangat diperlukan untuk masyarakat Orang Asli memandangkan penempatan mereka sangat terpencil di pedalaman ditambah bilangan mereka tidak ramai.

"Ini menyebabkan tidak ramai yang tahu mengenai kampung kami dan Alhamdulillah, kami sangat berterima kasih atas bantuan makanan dan pakaian ini," katanya.

Penduduk, Mulek Bongsu, 70, berkata, sumbangan barang dapur dapat meringankan bebannya daripada berulang-alik ke pasar yang agak jauh dan terpaksa menaiki bot penambang.

"Sekurang-kurangnya sahur dan berbuka puasa, saya ada lauk berbanding hari biasa yang hanya makan nasi dengan sayur dan ulam celur saja.

"Saya juga teruja memakai telekung baru dan tidak sabar untuk solat tarawih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 12:46 PM