MUHAMMAD Harriz bersama kambing baka Saanen.
MUHAMMAD Harriz bersama kambing baka Saanen.
Nazdy Harun

Permaisuri: Minat dan kesungguhan seorang pemuda menceburkan diri dalam bidang penternakan kambing susu sejak tujuh tahun lalu kini membuahkan hasil hingga mendapat pengiktirafan kerajaan.

Pemilik Kaprima Hulu Seladang Muhammad Hariz Nordin, 31, yang diiktiraf Anugerah Penternak Jaya Kebangsaan 2016 dan Anugerah Ikon Terengganu selepas mengusahakan ladang seluas 20 hektar dengan menternak 525 kambing susu.

Dia turut mengusahakan sebuah lagi ladang kambing yang diberi nama Kaprima Mengabang Bakong dengan keluasan 20 hektar dan sebanyak 110 kambing diternak di situ.

“Pada mulanya saya menerima tawaran mengusahakan ladang ini daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan selepas memikirkan peluang itu saya mengusahakannya dengan modal RM800,000.

“Di ladang Kaprima Hulu Seladang, saya menempatkan kambing baka Saanen kacukan manakala di ladang Kaprima Mengabang Bakong pula baka Saanen asli.

“Jika diikutkan ternakan itu mampu menghasilkan 150 liter susu sehari, tetapi kekangan mesin berteknologi tinggi menyebabkan susu hanya dihasilkan kira-kira 30 hingga 50 liter sehari,” katanya.

MUHAMMAD Harriz menunjukkan cara memerah susu kambing.
MUHAMMAD Harriz menunjukkan cara memerah susu kambing.

Muhammad Hariz yang juga lulusan ijazah bidang Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Of Sunderland, United Kingdom berkata, dia berusaha mengatasi masalah itu dan akan membina sebuah pusat pengumpulan susu dilengkapi mesin terkini menjelang awal tahun depan dengan kos RM1 juta termasuk modal pusingan.

Katanya, dia mempunyai rakan kongsi dari Arab Saudi dan sebagai langkah permulaan susu yang dihasilkan dipasarkan ke seluruh negara sebelum diperluaskan ke Timur Tengah.

Buat masa ini, susu yang dihasilkan hanya dijual untuk pasaran dalam negeri termasuk Kuala Lumpur, namun selepas siap sepenuhnya pemasangan mesin memproses susu di ladang Kaprima Hulu Seladang membolehkan dia meneroka pasaran lebih luas.

“Saya bekerjasama dengan 20 penternak tempatan yang akan membekalkan sekurang-kurangnya 20 liter susu sehari untuk diproses bagi memenuhi permintaan susu pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, dia turut mempelbagaikan perusahaannya dengan menghasilkan produk hiliran seperti sabun susu kambing kerana potensi serta pasaran produk berkenaan amat luas untuk diceburi golongan muda di negara ini.

MUHAMMAD Harriz memerhatikan pekerja membancuh makanan untuk diberikan kepada kambing.
MUHAMMAD Harriz memerhatikan pekerja membancuh makanan untuk diberikan kepada kambing.

Menurutnya, walaupun potensi perniagaan ini besar, namun cabaran mengusahakan ladang ternakan itu tidak kurang hebatnya termasuk berdepan masalah kambing dicuri.

“Bagi saya setiap cabaran perlu dilalui dengan tabah dan bangkit meneruskan usaha yang dijalankan bagi mengelak ia terhenti separuh jalan.

“Walaupun bukan mudah untuk berjaya, saya tekad dengan impian menjadi penternak berjaya terutama selepas melihat kejayaan hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 10:45 AM