IQBAL menggunakan jaring untuk membantu anjing berkenaan. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
IQBAL menggunakan jaring untuk membantu anjing berkenaan. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seorang pemuda sanggup memandu kira-kira 300 kilometer dari Kuala Lumpur ke bandar ini semata-mata ingin menyelamatkan seekor anjing yang kepalanya tersepit botol plastik.

Pemuda berkenaan, Iqbal Al Haiyum, 26, berkata, dia bertindak demikian kerana tidak sampai hati membiarkan anjing berkenaan yang sudah tidak makan dan minum, kira-kira enam hari.

Katanya, dia runsing dan tak sedap hati apabila memikirkan anjing berkenaan turut mempunyai anak-anaknya yang masih menyusu badan.

"Kebetulan anjing berkenaan memang selalu berkeliaran di rumah ibu (Maimunah Othman, 58) di Taman Seri Impian, dan sebelum anjing itu cuba makan dari bekas plastik berisi makanan kucing.

"Ibu yang memberitahu saya mengenai hal ini dan sudah ramai sebenarnya mahu membantu melepaskan anjing berkenaan, namun tidak berjaya kerana binatang itu lari ketakutan.

"Kebetulan cuaca pun sekarang panas, saya betul-betul tak sampai hati membiarkannya dalam keadaan seperti itu dan nekad menggunakan cuti bekerja untuk balik ke rumah emak dan mencari anjing berkenaan," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, bersyukur kerana anjing berkenaan akhirnya berjaya diperangkap menggunakan jaring yang dibekalkan seorang pencinta haiwan yang mengetahui hal berkenaan di media sosial.

"Sebelum ini, ibu saya ada menularkan kejadian itu di media sosial untuk memohon bantuan orang ramai bagi menyelamatkan anjing berkenaan.

"Daripada situ, ramai orang terdiri daripada pelbagai kaum yang memberi maklum balas ingin membantu dan bersimpati dengan nasib anjing berkenaan," katanya.

Katanya, ini adalah pengalaman ketiganya menyelamatkan anjing yang memerlukan bantuan termasuk daripada dihanyutkan arus deras air longkang dan membela seekor anak anjing yang kematian ibu.

"Saya dan ibu pernah sama-sama selamatkan tiga anak anjing di sebuah longkang daripada hanyut akibat hujan lebat, selain bertindak membela seekor anjing yang masih menyusu selama enam bulan sebelum memberikannya kepada orang yang sanggup membelanya," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai nasib haiwan berkenaan hingga mendapat simpati masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 9:18 AM