MIOR Faridalathrash memperdengarkan bacaan khutbah Jumaat sebelum solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau menerusi program HPP Polis Perak Solat Jumaat bersama masyarakat Lubuk Merbau. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MIOR Faridalathrash memperdengarkan bacaan khutbah Jumaat sebelum solat Jumaat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau menerusi program HPP Polis Perak Solat Jumaat bersama masyarakat Lubuk Merbau. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Padang Rengas: Polis menyiasat pemilik akuan Facebook yang mendakwa kononnya Imam Mahdi berada di Sabah melalui penstriman langsung, baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Perak serta Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Kangsar menjalankan siasatan.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

"Ketika merakam video siaran terbabit, pelakunya di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar. Jadi saya sudah arahkan Ketua JSJ Perak dan KPD Kuala Kangsar menjalankan siasatan biarpun setakat sekarang belum dimuktamadkan lagi bentuk siasatan yang dijalankan.

"Ketika ini saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana ia masih dalam siasatan. Dapat saja maklumat lanjut, saya akan kongsikan dengan media," katanya pada sidang media program High Profile Policing (HPP) Polis Perak serta Solat Jumaat PDRM Perak bersama masyarakat di Masjid Jamek Al-Marbawi, Lubuk Merbau, di sini, hari ini.

Ditanya kemungkinan perkongsian video itu ada kaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, Mior Faridalathrash berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

Video berdurasi lapan minit 56 saat memperlihatkan seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Sayong Lembah, tersebar sejak semalam.

Menerusi rakaman itu, lelaki itu mendakwa kononnya bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi yang difahamkan berada di Sabah.

Hasil semakan setakat jam 8 malam ini mendapati video terbabit sudah dipadam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 January 2022 @ 8:22 PM