Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang peniaga kerugian RM136,700 selepas diperdaya dalam urusan pembelian sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux yang tidak wujud berharga RM15,000 di Facebook (FB) baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, laporan berhubung kejadian diterima pihaknya di Kuala Kangsar pada Ahad lalu daripada mangsa berusia 47 tahun.

"Mangsa pergi ke pautan di FB yang menawarkan kenderaan berkenaan sebelum berurusan dengan seorang lelaki yang mendakwa ejen jualan syarikat kenderaan terpakai melalui aplikasi WhatsApp.

"Mangsa diminta membuat bayaran insurans serta cukai jalan RM3,500 sebelum melakukan 34 transaksi ke lapan akaun bank berbeza diberikan suspek berjumlah RM133,200," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program 'High Profile Policing' (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (Jenayah Dalam Talian) tahun 2021 di Pasaraya Aeon Kinta City di sini, hari ini.

DATUK Mior Faridalathrash Wahid ketika meninjau kempen derma darah. FOTO Muhammad ZulSyamini Sufian Suri
DATUK Mior Faridalathrash Wahid ketika meninjau kempen derma darah. FOTO Muhammad ZulSyamini Sufian Suri

Kempen ini diharap mampu mendidik orang ramai bagi mengetahui taktik yang sering digunakan oleh penjenayah dalam talian seterusnya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya masih mengesan dalang kes terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Beliau berkata, sepanjang 1 Januari hingga 21 November tahun ini, pihaknya merekodkan kerugian berjumlah RM25.557 juta membabitkan 1,057 kes.

Kata beliau, pihaknya turut melakukan 682 tangkapan bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Bagi tempoh sama tahun lalu, kami merekodkan kerugian berjumlah RM24.569 juta membabitkan 1,117 kes dengan 673 tangkapan.

"Ia membabitkan antaranya penipuan jual beli barang melalui Internet, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan, Macau Scam serta African Scam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:11 PM