DATUK Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga kanan) hadir Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
DATUK Seri Dr Zambry Abd Kadir (tiga kanan) hadir Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
Noor Hidayah Tanzizi


Pangkor: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membuat persiapan bagi memastikan Lapangan Terbang Pangkor, di sini, bersedia sepenuhnya menerima kehadiran pelancong yang bercuti ke pulau peranginan bebas cukai itu.

Pengerusi MAHB, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya melakukan sedikit penambah baikan di lapangan terbang berkenaan dan ia sudah bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

"Di pihak MAHB kita sudah membuat persiapan dan memastikan supaya keadaan lapangan terbang di Pangkor sentiasa berada pada tahap yang boleh digunakan pada bila-bila masa.

"Kita sudah melihat beberapa aspek untuk menambah baik beberapa bahagian namun ia membabitkan perubahan kecil sahaja.

"Jadi dari segi persiapan keseluruhannya, kita sudah bersiap sedia, tidak ada masalah untuk menggunakan Lapangan Terbang Pangkor," katanya pada Program High Profile Policing (HPP) dan kayuhan komuniti Ketua Polis Perak di Pulau Pangkor, di sini, hari ini.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor itu berkata, penerbangan secara terus daripada Subang ke Pangkor dijangka bermula pada bulan ini, namun ia bergantung kepada kesediaan pihak berkenaan untuk memulakan penerbangan mereka ke Pangkor.

"Tentang tarikh kesesuaian penerbangan seperti mana yang sudah diumumkan sebelum ini iaitu pada Januari (tetapi jika) kemungkinan (masih) ada kelewatan (memulakan operasi) ia mungkin ada sebab teknikal di pihak mereka (syarikat penerbangan berkenaan)," katanya.

Disember lalu media melaporkan, lapangan terbang berkenaan dijangka akan beroperasi semula pada 22 Januari ini dengan perkhidmatan penerbangan domestik secara terus daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 7:22 PM