Sutekno Ahmad Belon
Sutekno Ahmad Belon
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bersedia membantu merawat pulih individu terjebak dengan penagihan dadah atau substan seperti berlaku terhadap remaja lelaki yang tular, baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Sutekno Ahmad Belon berkata, AADK memiliki perkhidmatan rawatan dan pemulihan menerusi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), perkhidmatan di daerah, Pusat Khidmat AADK dan Rumah Komuniti AADK.

Menurutnya, ini termasuk perkhidmatan rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Dadah Persendirian (PPDP) yang berdaftar dengan AADK.

"Selain itu, AADK turut menyediakan perkhidmatan secara sukarela menerusi Puspen atau program pemulihan dalam komuniti yang tidak memerlukan klien berada di dalam pusat pemulihan itu.

"Semua kemudahan itu terbuka kepada warganegara terjebak dengan masalah penagihan dadah yang ingin mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, AADK berpendapat agensi berkaitan perlu digerakkan bagi memastikan masalah sosial dan ekonomi remaja yang tular baru-baru ini, dapat diselesaikan segera agar masalah sama tidak berulang.

Tambahnya, tindakan itu memerlukan tindakan secara holistik daripada semua pihak berwajib.

"Sekiranya anda atau orang dikenali terbabit dalam permasalahan dadah boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Pegawai Pemulihan AADK atau hadir ke Pejabat AADK yang berhampiran selain menghubungi Hotline AADK di talian 03-8911 2233 atau 019-6262233," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 7:41 PM