Sebahagian penagih yang ditahan dalam serbuan di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda. FOTO IHSAN AADK
Sebahagian penagih yang ditahan dalam serbuan di beberapa kawasan di daerah Kuala Muda. FOTO IHSAN AADK
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang lelaki yang juga penagih dadah terjun daripada tingkat satu sebuah flat di daerah ini bagi mengelak ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang menyerbu lokasi berkenaan, semalam.

Pada serbuan bermula jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 20-an itu bagaimanapun tidak cedera namun dapat melarikan diri.

Bagaimanapun, ibunya yang berusia 47 tahun ditahan bersama seorang lelaki berusia 39 tahun kerana disyaki terbabit dengan penagihan dadah.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda Arnida Ishak berkata, ketiga-tiganya menjadikan rumah didiami itu sebagai pusat penagihan dadah.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine," katanya pada kenyataan hari ini.

Pada serbuan berasingan di sebuah kawasan perumahan di sekitar Sungai Petani, empat penagih dadah turut ditahan di stor belakang rumah ketika menyembunyikan diri.

Arnida berkata, operasi yang berakhir jam 11 malam itu tertumpu di sekitar Sungai Petani, Tikam Batu dan Kota Kuala Muda.

"Ia dijalankan hasil maklumat awam. Sepuluh penagih ditahan membabitkan lapan lelaki dan dua wanita berusia 24 hingga 49 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Dua daripadanya positif morfin dan Methamphetamine, tujuh positif Methamphetamine manakala seorang lagi positif ganja.

"Operasi ini diketuai Irdawati Abdul Hamid bersama empat anggota.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penagihan di Kuala Muda boleh menyalurkan maklumat di talian 03-89112233 atau 019-6262233," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 2:07 PM