Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak 13,579 kes didaftarkan membabitkan kes sivil dan jenayah di Mahkamah Kota Bharu dengan kesalahan berkaitan dadah direkodkan paling tinggi sepanjang tahun lalu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, daripada jumlah itu, 6,412 adalah kes jenayah termasuk sebanyak 3,683 kes berkaitan dadah.

"Sebanyak 72 kes didaftarkan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Tinggi, 254 kes di Mahkamah Sesyen dan di Mahkamah Majistret pula sebanyak 3,357 kes.

"Badan Kehakiman sentiasa komited untuk memastikan semua kes dilupuskan dengan efisien. Namun demikian, untuk menangani mahupun mencegah kesalahan jenayah terutamanya kesalahan berkaitan dadah, peranan mahkamah semata-mata tidak mencukupi.

"Sebaliknya, semua pihak hendaklah bersatu hati dan memainkan peranan masing-masing demi membanteras isu ini kerana kesannya amat dahsyat sehingga memusnahkan masa depan terutama generasi muda, bahkan boleh melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu yang dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Tengku Dr Muhammad Faiz Petra (duduk empat dari kiri) bersama isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson (duduk empat dari kanan) berkenan bergambar pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baru Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tengku Dr Muhammad Faiz Petra (duduk empat dari kiri) bersama isteri Cik Puan Sofie Louise Johansson (duduk empat dari kanan) berkenan bergambar pada Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baru Tunjung. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pada masa sama, Tengku Maimun berkata, kes membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang didaftarkan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu juga amat membimbangkan iaitu sebanyak 59 kes berbanding kes berhubung jenayah seksual dewasa sebanyak 18 kes sahaja.

Katanya, dalam hal ini semua pihak perlu sentiasa cakna dalam memastikan hak dan kebajikan kanak-kanak yang menjadi golongan rentan sentiasa diberikan keutamaan, manakala mangsa kanak-kanak diberikan perlindungan yang sewajarnya.

"Di pihak mahkamah, kes jenayah seksual kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan menerusi pengendalian prosiding dalam mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 2:39 PM