Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan melawat pusat media di Dewan Jubli, Kuala Kangsar hari ini bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Perak. FOTO BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan melawat pusat media di Dewan Jubli, Kuala Kangsar hari ini bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri Perak. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Kangsar: Kira-kira 80 petugas media teruja apabila Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melawat pusat media di Dewan Jubli, di sini, selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, hari ini.

Baginda tiba di dewan yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Istana Iskandariah pada 3.45 petang dan meluangkan masa selama 15 minit beramah mesra dengan petugas media yang gembira dengan keberangkatan Sultan Nazrin.

Sultan Nazrin turut melayan permintaan media merakam gambar bersama baginda selain bertanya khabar.

"Berapa lama berkampung, saya nampak press (media) di depan Istana Kinta. Terima kasihlah buat kerja, bukan senang berpanas berhujan," titah baginda.

Terdahulu, dalam titah Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Menteri Besar Perak, baginda menzahirkan penghargaan terhadap petugas media yang berkampung di hadapan Istana Kinta, Ipoh dalam keadaan panas terik dan berhujan demi melapor serta menyiarkan berita secara bertanggungjawab kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Saarani Mohamad mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di hadapan Sultan Nazrin di Istana Iskandariah pada 11 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu mendapat perkenan Sultan Nazrin untuk dilantik sebagai menteri besar selepas pada pertimbangan baginda, Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar Adun.

Saarani dipilih menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Disember lalu selepas gagal mendapat sokongan menerusi usul 'keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri besar' pada Jumaat lalu.

Seramai empat Adun Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Bersatu turut mengangkat sumpah jawatan Exco kerajaan negeri Perak di Istana Iskandariah pada 2.30 petang.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi dengan Umno memiliki wakil terbanyak 25 kerusi, diikuti DAP (16), Amanah (5), Bersatu (5), PKR (3) dan PAS (3), manakala Gerakan dan Bebas masing-masing satu kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:28 PM