JAMBATAN gantung Nelayan Tengah ditutup sementara sebagai langkah keselamatan. FOTO BERNAMA
JAMBATAN gantung Nelayan Tengah ditutup sementara sebagai langkah keselamatan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Sandakan: Jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah, dekat sini, ditutup sementara mulai hari ini sebagai langkah keselamatan.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan dibuat atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang memutuskan jambatan berusia lebih 30 tahun itu tidak selamat digunakan sebagai laluan pejalan kaki.

"Sehubungan itu, ahli JPKK di Kampung Pampang dan Kampung Nelayan Tengah perlu memaklumkan kepada penduduk kampung masing-masing tentang penutupan jambatan gantung berkenaan," katanya.

Semalam, penduduk kampung bergoyong-royong menggantikan papan kayu yang disumbangkan oleh Umno Bahagian Libaran untuk laluan pejalan kaki di jambatan sepanjang kira-kira 150 meter itu sebagai langkah sementara.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Manila Isgau Abdullah pula berkata, jurutera Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama jurutera MPS dijangka membuat penilaian ke atas jambatan gantung itu, esok.

Menurutnya, ia bagi menentukan sama ada jambatan berkenaan boleh dibaiki dengan kos RM100,000 menerusi permohonan kepada MPS atau perlu dibina semula dengan struktur lebih kukuh.

Jambatan gantung itu merentasi Sungai Batang menghubungkan Kampung Nelayan Tengah dengan Kampung Sibugal Besar, yang mempunyai sekolah, masjid dan kemudahan pengangkutan awam.

Tular gambar disiarkan Bernama pada Isnin lalu mengenai pelajar yang memulakan sesi persekolahan berdepan bahaya kerana terpaksa melalui jambatan itu untuk ke sekolah hingga mengundang simpati warganet dan memohon pihak berwajib membaikinya dengan kadar segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 1:49 PM