LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerja menurunkan jejantas pejalan kaki di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang dekat sini yang retak pada struktur rasuk, selesai dilakukan hari ini.

Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor dalam kenyataannya memaklumkan, ia berikutan kerja itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal.

"Kerja menurunkan jejantas itu bermula pada 11 malam semalam dan siap pada 5.30 pagi hari ini.

"Laluan trafik dibuka untuk semua kenderaan pada 6 pagi," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada pihak konsesi iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd yang melaksanakan kerja itu.

"Terima kasih juga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor yang membantu dalam pengawasan trafik dari mula kerja dilaksanakan sehingga selesai," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pengguna jalan raya yang melalui bawah jejantas pejalan kaki di hadapan SMK Pengkalan Permatang diminta berwaspada.

Ia susulan terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas tersebut dipercayai hentaman daripada kenderaan berat.

Berita berkaitan

Laluan ditutup sementara untuk turunkan rasuk jejantas

Bimbang jejantas runtuh hempap kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 12:11 PM