LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Laluan Persekutuan 5 (FT005) Jalan Klang-Sabak Bernam di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, di sini, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai 11 malam, hari ini.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dalam notis pemberitahuan melalui laman Facebook memaklumkan, penutupan itu memberi laluan kepada kerja menurunkan rasuk jejantas pejalan kaki di hadapan sekolah itu.

"Kerja akan dilaksanakan bermula 11 malam ini (11 Januari) sehingga 6.30 pagi (13 Januari).

"Penutupan jalan ini akan mengakibatkan gangguan lalu lintas kepada pengguna jalan raya pada tarikh dan masa dinyatakan.

"Oleh itu, pengguna diminta untuk mematuhi papan tanda arahan yang disediakan," katanya, hari ini.

Katanya, kenderaan berat boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Sungai Terap - Jalan Raja Musa - Jalan Rawang 1 manakala kenderaan ringan pula boleh menggunakan Jalan Bukit Belimbing.

"Kerjasama sepenuhnya daripada semua pengguna jalan raya amatlah diharapkan.

"Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat JKR Kuala Selangor di talian 03-32891040/1626," katanya.

Terdahulu, media melaporkan pengguna jalan raya yang melalui bawah jejantas pejalan kaki di hadapan SMK Pengkalan Permatang diminta berwaspada susulan terdapat rekahan pada struktur rasuk jejantas itu, dipercayai hentaman daripada kenderaan berat.

Berita berkaitan

  • Bimbang jejantas runtuh hempap kenderaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 6:16 PM