Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seorang bekas pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tamat reman berkaitan kes rasuah bernilai kira-kira RM500,00 bagi dapatkan kerja kontrak perladangan, ditahan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Penahanan semula suspek berusia 61 tahun itu bagi membantu siasatan satu lagi kes membabitkan penyalahgunaan kuasa membabitkan pemberian projek kepada dua anaknya benilai lebih RM50,000.

Suspek berkenaan sepatutnya dibebaskan daripada tahanan reman berkaitan kerja kontrak perladangan, selepas direman sejak 6 Januari lalu.

Dia ditahan di Pejabat SPRM di sini, bersama dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 28 dan 34 tahun antara jam 4 hingga 4.30 petang tadi.

Pada 6 Januari lalu, lelaki itu ditahan dan direman bersama seorang lagi pengurus syarikat bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, pengurus syarikat yang juga berusia 61 tahun dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tempoh reman lima hari terhadapnya tamat hari ini.

Menurut sumber, sekitar Disember tahun lalu, lelaki yang sebelum ini bertugas sebagai pengurus GLC di Segamat memberikan beberapa projek kepada dua anaknya yang memiliki syarikat sendiri.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan bekas pengurus GLC itu dan dua anaknya mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi mendapatkan permohonan reman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 8:12 PM