MAYAT Soh Neo dijumpai di dalam tali air di Buloh Kasap.
MAYAT Soh Neo dijumpai di dalam tali air di Buloh Kasap.
Ahmad Ismail


PENEMUAN mayat Soh Neo dalam tali air di Buloh Kasap meragut kegembiraan sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Soh Neo, 85, gagal dikesan sejak keluar dari kediaman keluarganya di Taman Tunas Buloh Kasap, di Segamat, sejak Khamis, lalu.

Anaknya, Tan Kok Leong berkata, ibunya itu dipercayai keluar dari kediaman kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 16 Januari lalu turut membawa kunci kediaman dilengkapi peralatan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

"Peralatan GPS yang dipasang bersama kunci kediaman itu sebenarnya memudahkan ahli keluarga mengesan lokasi terakhir ibu jika keluar dari kediaman," katanya ketika ditemui di Balai Polis Buloh Kasap di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Balai Polis (OCS) Buloh Kasap, Sarjan Mejar, Mohd Surani Sarbini.

Kok Leong berkata, ketika kejadian, ibunya berseorangan di kediaman kerana beliau mempunyai urusan perniagaan di sekitar Segamat.

"Kali terakhir lokasi ibu dikesan adalah di sebuah tangki air di Taman Yayasan kira-kira jam 5.15 petang Khamis lalu melalui sistem GPS itu.

"Malangnya sistem GPS itu kehabisan bateri kemudiannya menyebabkan usaha pencarian di lokasi terakhirnya menemui jalan buntu kerana ibu bergerak ke arah lain dan kami membuat laporan polis kemudiannya," katanya.

Katanya, kira-kira jam 10.15 pagi tadi, dia dimaklumkan oleh pihak polis mayat ibunya ditemui dalam sebuah tali air kira-kira dua kilometer dari kediamannya.

"Kami sembilan beradik iaitu tiga lelaki dan enam perempuan berusia antara 40-an hingga 50-an amat bersedih kehilangan ibu di saat sambutan Tahun Baharu Cina menjelang minggu depan.

"Kami amat menghargai usaha orang awam, polis Segamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat membantu dalam pencarian ibu sejak beberapa hari lalu," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, mayat mangsa ditemui tertiarap berpakaian lengkap dalam tali air kira-kira jam 10 pagi tadi oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi polis.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 3:09 PM