HASAN Basri (dua dari kanan) bersama dengan Azhari Nusi (kiri) menunjukkan barang rampasan air ketum, daum ketum dan rokok seludup di sempadan Malaysia-Thailand yang dianggarkan RM3,408.00 di Pengkalan Haram Madrasah, Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
HASAN Basri (dua dari kanan) bersama dengan Azhari Nusi (kiri) menunjukkan barang rampasan air ketum, daum ketum dan rokok seludup di sempadan Malaysia-Thailand yang dianggarkan RM3,408.00 di Pengkalan Haram Madrasah, Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Syaherah Mustafa


TINDAKAN sekumpulan lelaki menyeludup daun serta air ketum dan rokok pada awal pagi tidak berhasil apabila kegiatan mereka dikesan anggota Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7), di Pengkalan Haram Madrasah, Rantau Panjang, hari ini.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar, berkata ketika kejadian 3.30 pagi itu, anggota membuat intipan lebih 10 minit sebelum mendapati beberapa lelaki sedang memunggah tin besi daripada bot ke tebing sungai.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, semua lelaki terbabit melarikan diri ke negara jiran menaiki bot dengan meninggalkan semua barangan itu.

"Hasil pemeriksaan di dalam tin terbabit, anggota kami menemui 4,800 batang rokok seludup, dua kilogram daun ketum serta tiga liter air ketum bernilai RM3,408 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan sekitar Rantau Panjang.

"Semua barangan ini disembunyikan di dalam tin sebagai taktik baru untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan seterusnya mengelak ditangkap, namun ketangkasan anggota kami bertindak akhirnya menggagalkan usaha penyeludup ini.

"Anggota kemudian membawa semua barangan dirampas ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Tugas Op Benteng Covid-19 daripada PGA7 kepada PGA9 di Markas Taktikal Lubok Stol, Rantau Panjang, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi dan Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof.

Hasan Basri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, kes itu membuktikan penyeludup semakin licik dalam menyusun strategi untuk menjalankan kegiatan mereka tidak kira masa, namun anggota PGA terus memberi komitmen terbaik mengekang jenayah sempadan dengan apa cara sekali pun.

"PGA tidak pernah 'tidur', sebaliknya sentiasa bersedia menghadapi pelbagai taktik penjenayah yang menceroboh sempadan negara.

"Kerjasama daripada agensi lain turut melancarkan lagi kerja anggota bagi menjaga keamanan negara terutama di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 4:08 PM