Gambar hiasan. FOTO Fail Bernama.
Gambar hiasan. FOTO Fail Bernama.
Luqman Arif Abdul Karim


Kuala Lumpur: Langkah membendung jangkitan Covid-19 akan dibuat bersandarkan kaedah yang berkesan dan tidak keterlaluan, berbanding pelaksanaan sekatan pergerakan atau 'lockdown'.

Malah, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan kaedah sekatan pergerakan, perintah berkurung dan seumpamanya adalah langkah ke belakang.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyelaras segenap langkah pembendungan dan kawalan wabak menerusi pendekatan lebih terangkum.

"We don't mention the 'L' word anymore (kita tak sebut lagi perkataan L itu), sebaliknya semua tindak balas akan dibuat mengikut kaedah yang berkesan, tetapi tidak keterlaluan.

"Kita buka sempadan kerana ia diperlukan penduduk, seperti mereka yang belajar di luar negara, warga yang nak datang berniaga di Malaysia dan pelbagai lagi.

"Sampai bila lagi pun kita nak tutup sempadan, sebolehnya kita nak bergerak ke hadapan tanpa perlu toleh ke belakang lagi, justeru perkataan 'L' itu patah balik belakang.

"Memang kita sedaya upaya nak elakkan perintah berkurung atau sekatan pergerakan," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Mengulas pertikaian orang ramai mengenai keberkesanan vaksin susulan keperluan pengambilan dos penggalak yang keempat, Khairy berkata, usaha itu dimulakan Israel dan ia kini giat diberikan kepada penduduk di negara terbabit.

Jelasnya, keperluan dos penggalak yang keempat bukan bermakna vaksin tidak berkesan seperti diomong-omongkan segelintir pihak, sebaliknya ia bertujuan mengaktifkan semula tahap sistem pertahanan badan daripada sebarang jangkitan.

"Pengeluar vaksin daripada awal sudah akui bahawa mereka tidak tahu berapa lama kesan liputan pelalian ini akan kekal dan kini kita dapati ia mula menyusut selepas tempoh enam bulan.

"Justeru, di sini wujud keperluan mengambil dos penggalak bagi memastikan tahap imunisasi seseorang berada pada tahap optimum, tetapi ia tidak bermakna bahawa vaksin tidak berkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 7:44 PM