Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya nak bagi yang terbaik kepada rakyat, takkan saya nak offer (tawarkan) yang tidak baik."

Demikian reaksi Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membidas kenyataan Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing mempersoalkan mengapa beliau masih enggan membenarkan orang ramai memilih jenis vaksin yang diterima mereka.

Khairy berkata, keberkesanan dos penggalak jenis Pfizer-BioNTech (Pfizer) dan Astrazeneca (AZ) terbukti lebih efektif berbanding Sinovac.

"Pada asalnya kita ikut keberkesanan apabila pakar dah maklum kepada saya dos penggalak Pfizer dan AZ lebih berkesan.

"Bagaimanapun kita sediakan Sinovac di PPV (Pusat Pemberian Vaksin) bagi mereka yang ada alahan, yang tidak boleh terima Pfizer sebab ada alahan, kita bagi Sinovac," katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hari ini kerana mahu semua individu dilindungi sepenuhnya menerusi dos penggalak.

"Saya dah buat keputusan hari ini bahawa oleh kerana mereka tak nak juga terima Pfizer walaupun nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) ini adalah perlindungan terbaik untuk dos penggalak, lebih baik mereka dapat apa pun dos penggalak daripada tak dapat apa langsung.

"Sekarang kita beri mereka pilihan, walaupun saya dah usahakan selama dua bulan pujuk mereka untuk dapatkan Pfizer atau AZ tetapi tidak mahu juga… tak apalah.

"Dengan gelombang varian Omicron ini, anda mahu ambil Sinovac walaupun keberkesanan kurang, ambil Sinovac," katanya.

Khairy berkata, bagi KKM, pihaknya mengesyorkan Pfizer dan AZ sebagai dos penggalak kerana keberkesanan lebih tinggi berbanding Sinovac.

"Oleh kerana NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) dah setuju dengan Sinovac, jadi kita tidak boleh menafikan, mereka boleh ambil Sinovac," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:25 PM