DR Noor Hisham (dua kiri) ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur, bersama sama, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Ferdaus. FOTO Aziah Azmee
DR Noor Hisham (dua kiri) ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur, bersama sama, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Ferdaus. FOTO Aziah Azmee
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: "Kita berperang dengan Covid-19 hampir dua tahun. Ada kelesuan skala yang besar dan berpanjangan dari segi mental serta fizikal kepada frontliners (petugas barisan hadapan) dan juga rakyat Malaysia," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Itu antara jawapan Dr Noor Hisham ketika moderator forum 'Menjangkau Masyarakat Melalui Pusat Pemberian Vaksin' iaitu Luqman Hariz meminta pandangan beliau sebagai panel mengenai dos penggalak vaksin Covid-19 yang kurang mendapat sambutan.

Namun apa yang pasti, katanya, semua pihak mesti bersiap siaga dan menggunakan kaedah atau peralatan yang sedia ada untuk berperang dengan virus semasa.

"Kalau kita guna strategi yang lepas iaitu tindakan kesihatan awam seperti duduk di rumah dan sebagainya, orang dah tak nak dengar lagi duduk rumah.

"Jadi apa yang penting kita lihat kepada libat urus dengan rakyat terutamanya maklumkan keadaan semasa dan juga strategi yang kita gunapakai.

"Sekarang ini kita masuk ke peringkat vaksinasi. Pada peringkat permulaan, rakyat was-was nak gunakan vaksin. Kemudian kita menggunakan ikon dan menggalakkan rakyat supaya ada kepercayaan kepada vaksin," katanya dalam forum yang diadakan di Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM), di sini, hari ini.

Ia dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Dr Noor Hisham berkata, pada permulaan banyak teori dan tuduhan terhadap pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Namun katanya, pada waktu ini terbukti vaksin berkesan mengurangkan kemasukan ke hospital, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU), ventilator dan kematian.

"Walaupun vaksin ini ada keberkesanan yang berbeza tetapi matlamat vaksin adalah sama. Kebimbangan kita ialah antibodi yang semakin berkurangan.

"Tetapi dalam pemberian dos penggalak, kita ada kepelbagaian dalam vaksin. Sama ada vaksin yang sama atau pun vaksin campuran.

"Kita maklum kenapa kita berikan dos penggalak berbeza kerana kita dapati keberkesanan vaksin campuran lebih tinggi dibandingkan dengan dos penggalak vaksin yang sama," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua tampil ke hadapan untuk mengambil dos penggalak seterusnya meningkatkan imuniti atau antibodi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 8:25 PM