GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/DANIAL SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP/DANIAL SAAD
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes virus itu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang sudah dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.

Beliau berkata, perkara itu sememangnya adalah keutamaan KKM pada ketika ini.

"Dengan perlanjutan Malaysia sebagai 'Kawasan Tempatan Jangkitan' sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan.

"Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara (health border measures) serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

"Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Menurutnya, pihak KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), negara China serta rakan-rakan negara ASEAN.

"KKM juga sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat. Berdasarkan laporan, pihak WHO sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan Covid-19 di negara berkenaan.

"Berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga sudah dikesan di Malaysia.

"Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan bagi memberi perlindungan dari mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus Covid-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital," katanya.

Selain itu, Dr Zaliha berkata tidak lama lagi vaksin Bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.

Beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.

"Sehubungan itu juga, KKM menggesa orang ramai yang sudah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan supaya mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

"Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian. KKM berharap, peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutamanya daripada golongan yang berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang sudah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus sahaja yang sudah mengambil vaksin dos penggalak kedua.

"Disamping itu, saya ingin terus mengingatkan rakyat untuk terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:29 PM