Nor Fazlina Abdul Rahim

Jeli: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Raja Bomoh dan seorang wanita yang didakwa melakukan ritual bagi menolak musibah banjir di Teluk Intan, Perak seperti tular di laman sosial, semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata tindakan individu berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran Islam selain terdapat unsur khurafat serta tahyul.

"Saya sudah mengarahkan Jakim untuk meneliti apa sahaja tindakan yang sewajarnya kerana individu berkenaan sentiasa mencari publisiti sebegitu walaupun tidak mendapat sambutan.

"Tindakan yang dilakukan itu jelas membawa unsur bercanggah dengan ajaran agama dan ada unsur khurafat serta tahyul dalam upacara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rakaman video melakukan ritual menolak musibah banjir yang dilakukan Raja Bomoh dan seorang wanita.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Datuk Ahmad Marzuk Shaary. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menerusi video berdurasi lebih 25 minit itu, lelaki itu mendakwa upacara berkenaan adalah petua zaman dahulu dan meminta semua tempat tidak banjir bukan saja di Teluk Intan, tetapi seluruh dunia.

Terdahulu, Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan Bantuan Musaadah Banjir kepada 200 penduduk membabitkan peruntukan RM100,000 di Kuala Balah, di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai penangguhan umrah, Ahmad Marzuk menasihatkan jemaah umrah supaya bersabar.

Katanya, pendekatan yang diambil kerajaan sebagai langkah pencegahan memandangkan jangkitan Covid-19 varian Omicron membabitkan jemaah yang pulang dari negara luar terutama Arab Saudi sangat tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:16 PM