Pandangan udara situasi banjir yang melibatkan 7 buah rumah di Kampung Batu 5, Buloh Kasap Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pandangan udara situasi banjir yang melibatkan 7 buah rumah di Kampung Batu 5, Buloh Kasap Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Bilangan mangsa banjir bertambah di negeri ini menjadikan seramai 5,598 orang daripada 1,516 keluarga yang ditempatkan di 79 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding hanya 5,479 mangsa daripada 1,486 keluarga di 78 PPS membabitkan tujuh daerah, jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata peningkatan itu dapat dilihat menerusi pembukaan sebuah lagi PPS di Dewan Serbaguna Kampung Paya Besar, di Segamat, yang menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga.

"Segamat terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir kepada 4,103 orang daripada 1,114 keluarga yang ditempatkan di 53 PPS, sehingga kini.

"Tiga daerah turut merekodkan pertambahan mangsa banjir meliputi Mersing dengan 541 orang daripada 142 keluarga di tujuh PPS, Tangkak dengan 467 mangsa daripada 119 keluarga di sembilan PPS dan Kluang pula 112 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di sebuah PPS.

"Sehingga kini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) masih mengeluarkan amaran hujan berterusan buruk di seluruh Johor, hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 2:51 PM