OTHMAN Khader (tiga kanan) menerima Surat Pelawaan Bantuan Projek Baiti Jannati TNB daripada Mohd Zaidi Aziz (dua kiri) disaksikan oleh Ahmad Fadhli Aziz (kiri sekali) dan Mohd Toha Abdul Manaf (dua kanan) di Kampung Kuala Slim dekat sini. FOTO Rosman Shamsudin
OTHMAN Khader (tiga kanan) menerima Surat Pelawaan Bantuan Projek Baiti Jannati TNB daripada Mohd Zaidi Aziz (dua kiri) disaksikan oleh Ahmad Fadhli Aziz (kiri sekali) dan Mohd Toha Abdul Manaf (dua kanan) di Kampung Kuala Slim dekat sini. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Tahun 2021 cukup bermakna buat bekas pengawal keselamatan, Othman Khader, 63, yang bakal menghuni kediaman baru di Kampung Kuala Slim dekat sini.

Sebelum ini, Othman hidup berpindah randah selama 34 tahun bersama isterinya, Rodiah Mat Yatim, 61, dengan menyewa rumah.

Othman berkata, rumah baharu itu akan dibina oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Projek Baiti Jannati (PBJ) yang dijangka siap sebelum Aidilfitri.

Katanya, rumah dihuni ketika ini adalah kediaman sewa di atas sebidang tanah milik sebuah syarikat ladang kelapa sawit.

"Sudah lama kami mengimpikan untuk menghuni rumah sendiri kerana sudah terlalu penat berpindah randah mencari dan mendiami rumah sewa.

"Kalau hendak beli rumah dan tanah untuk membina rumah memang saya tidak mampu kerana gaji pengawal keselamatan bukannya tinggi dan cukup untuk menyara hidup sahaja," katanya.

Othman ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Pelawaan Bantuan PBJ TNB yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim Mohd Zaidi Aziz di Kampung Kuala Slim, hari ini.

Turut hadir Pengurus Kanan TNB Perak Ahmad Fadhli Aziz, Pengurus Perhubungan TNB Perak Mohd Toha Manaf dan Ketua Bahagian Teknikal TNB Tanjung Malim Juraida Zulkifli.

Rumah dengan kos kira-kira RM50,000 itu dibina dengan kerjasama Majlis Agama Islam Perak (MAIP) di atas sebidang tanah berdekatan kampung berkenaan.

TNB turut menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada Othman sekeluarga.

Othman berkata, rumah yang dihuni ketika ini juga agak daif dengan bumbungnya bocor.

Katanya, dia bersyukur atas inisiatif bekas ketua kampung, Suhaimi Md Said dan Pejabat Adun Slim yang membantu membuat permohonan dan mengenalpasti tapak rumah baharu berkenaan.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang merealisasikan impian kami terutama pihak TNB yang cukup prihatin membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 2:09 PM