KERJA awal yang didakwa membabitkan aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung. FOTO ihsan KUASA
KERJA awal yang didakwa membabitkan aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung. FOTO ihsan KUASA
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak mengesahkan tiada lesen atau permit dikeluarkan bagi sebarang aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di sini.

Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kelulusan untuk aktiviti seperti didakwa, justeru pihak terbabit sudah diarahkan menghentikan kerja mengorek pasir di kawasan berkenaan.

"Tiada apa-apa kelulusan permit atau lesen untuk melakukan aktiviti mengorek pasir. Itu tanah milik sebuah syarikat dan kita sudah arahkan henti kerja.

"Aktiviti yang dilakukan adalah mengeluarkan pasir tetapi tiada kelulusan permit diberikan," katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro melalui WhatsApp, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai aktiviti mengambil pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari yang boleh menjejaskan serta memberi kesan kepada ekologi dan pendaratan penyu bertelur.

Difahamkan, ada sebahagian kawasan hutan berhampiran pantai itu sudah 'dibersihkan'.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, semakan awal pihaknya mendapati kawasan berkenaan bukan berstatus hutan simpanan kekal dan tiada kelulusan atau lesen diluluskan bagi tujuan pengeluaran kayu dari kawasan itu.

"Bagaimanapun, kami akan melakukan semakan lanjut di lapangan bersama agensi lain yang berkaitan bagi memastikan aktiviti penebangan pokok itu tidak membabitkan kawasan hutan simpanan kekal berhampiran," katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan meluahkan kebimbangan kegiatan mengambil pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari itu memberi kesan buruk kepada ekologi dan pendaratan penyu yang bertelur di kawasan pantai berkenaan.

Katanya, kawasan berkenaan adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap satu yang tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti pembangunan selain pelancongan terkawal dan penyelidikan seperti yang dinyatakan dalam peraturan Rancangan Fizikal Negara serta Rancangan Tempatan.

Malah katanya, pada November lalu pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat yang meragui ada jentera berat masuk ke kawasan berkenaan, malah mereka turut mendakwa akan dimarahi apabila melalui kawasan itu.

Dalam pada itu, Ismady berkata, tinjauan di lokasi petang semalam mendapati sebahagian kawasan yang masih mempunyai hutan sudah dibersihkan.

Katanya, pihaknya turut bercadang melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

"Kami sedang menyediakan dokumen untuk aduan, dalam isu ini sepatutnya kena maklum pada SPRM sebab projek ini ada benda yang tak kena," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 12:28 PM