TANAH merah terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. FOTO ihsan KUASA
TANAH merah terdampar di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. FOTO ihsan KUASA
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Pantai Teluk Akuan, Segari yang dipercayai menjadi lokasi pendaratan penyu bertelur di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, di sini, turut didakwa terjejas dipercayai susulan aktiviti kuari.

Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan mendakwa anak sungai di selatan Teluk Akuan kini berubah berwarna dipercayai kesan daripada aktiviti manusia di kompartmen 22 hutan simpan berkenaan.

Menurutnya, di kawasan pantai juga terdapat tanah merah yang mengalir ke laut dan perkara itu baharu dikesan melalui tinjauannya, semalam.

"Kami masuk ke dalam (kawasan hutan) ikut laluan anak sungai, mendapati tanah merah terhakis dan memasuki serta memenuhi sebahagian hutan simpan hingga mengakibatkan sesetengah kawasan ada pokok mati akibat timbunan tanah merah dari bukit di kompartmen 22.

"Tanah merah ini kemudian terkumpul di pantai selatan Teluk Akuan memasuki laut. Tanah merah itu berkemungkinan besar daripada aktiviti manusia di Kompartmen 22 Hutan Simpan Segari Melintang," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ismady berkata, pihaknya bimbang fungsi Pantai Teluk Akuan sebagai kawasan persinggahan nelayan berlindung daripada ribut dan mengambil air bersih dari air terjun berhampiran akan terjejas.

"Sebelum ini pantai Teluk Akuan menjadi salah satu pantai pendaratan penyu, dan nelayan yang membawa kami ke sana turut mendakwa masih ada penyu mendarat, cuma tidak dapat disahkan jika haiwan itu bertelur atau tidak ketika ini.

"Menurut nelayan, sepanjang pantai bermula daripada Utara Hutan Simpan Segari Melintang, pantai Pasir Panjang dan Sungai Puyu serta pantai di Hutan Simpan Tanjung Hantu adalah pantai pendaratan penyu sebelum ini.

"Malah menurut nelayan, selain pantai Pasir Panjang dan Sungai Puyu, mereka dapat melihat bekas laluan penyu di pantai-pantai sebelah utara Segari Melintang (Pantai Yat Yat, Teluk Akuan)," katanya.

Katanya, Kuasa bukan mahu mencari salah mana-mana pihak, tetapi memainkan peranan untuk memastikan khazanah alam terus terpelihara dan tidak musnah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuat pemeriksaan lanjut di lokasi.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul turut mengesahkan sudah menghantar pegawai ke lapangan selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, pagi ini.

"Insya-Allah, pegawai JAS, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral dan Geologi Perak serta pegawai dari pejabat Exco negeri akan ke lapangan bagi menjalankan siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 4:23 PM