KERJA awal yang didakwa membabitkan aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung. FOTO Ihsan Kuasa
KERJA awal yang didakwa membabitkan aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di Manjung. FOTO Ihsan Kuasa
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Aktiviti pengambilan pasir di Pantai Pasir Panjang, Segari di sini, akan memberi kesan buruk kepada ekologi dan pendaratan penyu yang bertelur di kawasan pantai berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan berkata, kawasan berkenaan adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap satu.

Menurutnya, kawasan berkenaan tidak boleh dilakukan sebarang aktiviti pembangunan selain pelancongan terkawal dan penyelidikan seperti yang dinyatakan dalam peraturan Rancangan Fizikal Negara serta Rancangan Tempatan.

"Pada November lalu kita menerima aduan daripada penduduk setempat yang meragui ada jentera berat masuk ke kawasan berkenaan, malah mereka turut mendakwa akan dimarahi apabila melalui kawasan itu.

"Kita kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan dan turun ke lokasi. Ketika itu kita mendapati tiada papan tanda kerja namun sudah ada jentera serta kerja dibuat.

"Ada bekas lubang (hasil mengorek pasir) yang dipercayai mungkin kerja awal atau penilaian untuk mendapatkan kedalaman dan keluasan pasir," katanya ketika dihubungi hari ini sambil mendakwa pihaknya juga turut dihalau individu yang berada di situ.

Ismady turut mendakwa aktiviti itu membabitkan keluasan dianggarkan 121 hektar kira-kira 100 hingga 200 meter dari pantai berkenaan yang menjadi kawasan pendaratan penyu bertelur sejak sekian lama.

Difahamkan pasir dibawa keluar melalui laut berikutan ada individu mendakwa melihat beberapa pelampung untuk mengikat pontoon bagi memudahkan kerja membawa keluar pasir.

"Semalam penduduk beritahu kawasan itu sudah dipagar. Jika aktiviti itu mendapat kelulusan bagaimana ia boleh berlaku sedangkan ia adalah kawasan sensitif alam sekitar tahap satu dan sepatutnya tidak boleh ada kegiatan menggugat pendaratan penyu.

"Bulan Mac adalah musim penyu mendarat tetapi kalau diikutkan di Segari pendaratan sepanjang tahun jadi kita bimbang kerja pengeluaran pasir akan menjejaskan pendaratan penyu," katanya aktiviti berkenaan juga akan menyekat kegiatan nelayan setempat.

Sementara itu, Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris ketika dihubungi berkata, tahun lalu pihaknya sudah mengarahkan pihak yang melakukan kerja mengorek pasir di pantai berkenaan menghentikan operasi.

"Kami belum menerima aduan baru mengenai projek pengambilan pasir di lokasi berkenaan (seperti yang didakwa) tetapi saya akan periksa dahulu mengenainya (jika ia aktiviti baru atau lama) untuk tindakan lanjut," katanya.

Manakala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya hanya mengeluarkan kebenaran kerja tanah saja iaitu hanya selepas pihak yang mahu melakukan aktiviti pengambilan pasir mendapat permit atau lesen yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Bagaimanapun katanya, setakat ini juga mereka tidak menerima permohonan daripada pihak itu.

Katanya, pihak PTG sudah mengeluarkan notis henti kerja dan pihaknya juga akan mengeluarkan arahan untuk perkara sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 5:35 PM