LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria


“SEWAKTU berada di luar premis, saya lihat lelaki berjalan mundar mandir dalam keadaan pakaian yang kotor selain mukanya terbakar,” kata pemilik kedai elektronik di Chuah, di Port Dickson, Khairi Shamsudin, 41 menceritakan kejadian seorang lelaki terkena renjatan elektrik ketika mahu mencuri kabel besi di pencawang elektrik di kawasan itu, semalam.

Khairi berkata, pada kejadian 11 pagi, lelaki berkenaan dilihat dalam keadaan tidak terurus seperti orang mabuk.

Katanya, dia yang berada dari kedudukan 100 meter dari pencawang cuba mendekati, namun lelaki itu beredar segera dengan menunggang motosikal.

“Saya cuba bertanyakan keadaannya, namun lelaki itu meninggalkan lokasi dengan kulitnya yang terbakar,” katanya.

Menurut Khairi, sebelum itu dia terdengar bunyi letupan kuat dari dalam pencawang disusuli bekalan elektrik di premisnya terputus.

“Saya bertindak keluar daripada kedai dan mendapati premis berhampiran turut terganggu bekalan (elektrik),” katanya.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya yang dihubungi orang awam mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi pada 12.05 tengahari.

Katanya, sebaik tiba di pencawang berhampiran stesen minyak, anggotanya mendapati pagar di sekitar pencawang dipotong.

“Suspek berusia 27 tahun dipercayai cuba mencuri kabel besi dan sewaktu mahu melakukannya berlaku letupan kuat. Beberapa saksi memaklumkan suspek yang melecur melarikan diri sebaik kejadian,” katanya.

Menurut Aidi Sham, kejadian menyebabkan 5,000 rumah dan premis di Tanah Merah Site C hingga ke Bukit Palong, di sini selain 16 pencawang lain di kawasan berhampiran terputus bekalan elektrik.

“Pihak polis membuat semakan melalui Unit Kecemasan Hospital Port Dickson dan disahkan suspek menerima rawatan dengan bahagian muka dan 20 peratus badan melecur. Suspek dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban berikutan keadaannya kritikal,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati lelaki itu yang menetap di Taman Lukut Makmur sudah berkahwin dan pernah ditangkap atas kesalahan dadah dan curi.

“Sebaik kejadian, juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membuat pemeriksaan mendapati kehilangan beberapa kompenan elektrik. Kami difahamkan pencawang itu menyalurkan

tenaga elektrik bervoltan tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, suspek akan ditahan selepas keadaannya stabil mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Berita berkaitan

Padah curi kabel besi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 1:37 PM