FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Seremban: Komuniti maritim terutama nelayan dan pengunjung pantai peranginan dinasihatkan berwaspada dan menangguhkan dahulu aktiviti membabitkan perairan susulan cuaca buruk di Negeri Sembilan dan kebanyakan negeri ketika ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, ini kerana perairan negeri ini diramalkan berlaku air pasang besar dengan tiupan angin Monsun Timur Laut yang lebih kuat sehingga Rabu (5 Januari).

Beliau berkata, keadaan laut ketika ini juga adalah berbahaya kepada bot-bot kecil berikutan hujan lebat dan laut bergelora dengan ombak boleh mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.

"Kebanyakan nelayan yang berdaftar di negeri ini adalah nelayan Kelas A yang menggunakan bot kecil untuk menangkap ikan. Dengan cuaca yang buruk pada masa sekarang, ada kemungkinan bot mudah terbalik apabila dibadai ribut dan ombak yang kuat.

"Bagaimanapun, sekiranya masih perlu ke laut, mereka harus sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca terlebih dahulu serta memastikan bot dalam keadaan selamat," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jelasnya, mereka juga perlu membawa Peranti Pengesan Peribadi yang membantu mempercepatkan bantuan di laut, jika berlaku sebarang kecemasan selain menghubungi talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 atau 999 yang beroperasi 24 jam.

Sementara itu, pegawai perikanan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS) Doreen Wee Siew Leen berkata, nelayan masih ke laut untuk menangkap ikan namun hanya membabitkan zon pesisiran pantai dan menasihatkan sejumlah hampir 500 nelayan di negeri itu agar sentiasa berjaga-jaga ketika melakukan aktiviti di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 8:49 AM