PASUKAN Maritim Malaysia memberikan rawatan awal kepada seorang penumpang kapal 'Spectrum Of The Seas' mengalami strok semasa kapal sedang  belayar. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
PASUKAN Maritim Malaysia memberikan rawatan awal kepada seorang penumpang kapal 'Spectrum Of The Seas' mengalami strok semasa kapal sedang belayar. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bukan sahaja menjaga perairan negara, tetapi lebih daripada itu.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, pihaknya menerima

maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru yang memaklumkan

seorang penumpang kapal 'Spectrum Of The Seas' mengalami strok semasa kapal sedang belayar menuju ke Singapura dari Pulau Pinang petang semalam.

" Sebaik mendapat info, petugas peronda Maritim Malaysia terus melaksanakan tugas Medical Evacuation (MEDEVAC) ke atas seorang penumpang kapal yang mengalami angin ahmar atau strok.

"Ketika itu, Bot PETIR 91 yang sedang membuat rondaan rutin di kawasan sekitar segera diatur gerak ke lokasi kapal lebih kurang 3.8 batu nautika Barat Daya Port Dickson," katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Katanya, setiba di lokasi, mangsa, Hon Siu Fung, 66, seorang wanita warga Indonesia berada dalam keadaan lemah.

"Selepas diperiksa, mangsa perlu dibawa ke hospital dengan segera dan dipindahkan ke bot Maritim Malaysia untuk dibawa ke Jeti Jabatan Laut, Port Dickson pada jam 10 malam tadi sebelum dikejarkan ke Hospital Port Dickson, untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Iskandar berkata, selain tugas penguatkuasaan undang-undang di laut, Maritim Malaysia juga turut membantu masyarakat.

" Pihak komuniti Maritim Malaysia juga membuat penerbangan atau pelayaran ihsan

bagi kes kecemasan di laut dan MEDEVAC ini.

" Sekiranya terdapat sebarang kecemasan di laut, sila laporkan segera ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 12:54 PM