PENARI warga asing yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
PENARI warga asing yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebuah premis hiburan di Jalan Perak di sini, yang dipercayai menyediakan khidmat penari wanita ala 'Bollywood' diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan 12.20 tengah malam dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan maklumat serta risikan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, seramai 10 wanita terdiri daripada seorang tempatan dan sembilan warga asing berusia 19 hingga 27 tahun ditahan.

"Polis turut menahan 32 individu dipercayai pelanggan untuk pemeriksaan dan ujian saringan awal air kencing.

"Ujian mendapati kesemua mereka negatif dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, kesemua wanita terbabit ditahan reman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2602222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 7:05 PM