MUKHLIS disambut dengan tepukan semangat oleh tujuh pesakit kanser cilik di pekarangan Jambatan Angkat, kelmarin. FOTO BERNAMA
MUKHLIS disambut dengan tepukan semangat oleh tujuh pesakit kanser cilik di pekarangan Jambatan Angkat, kelmarin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Terengganu: Simpati dengan nasib kanak-kanak yang menghidap kanser mendorong Mukhlis Ilyas mengembara dengan berjalan kaki menerusi kempen #Walk4CancerKids, bagi mengumpul dana untuk Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser Kuala Lumpur (Kids).

Lelaki berusia 58 tahun itu memulakan kembaranya pada 25 Disember lalu dari Kota Bharu, Kelantan dengan menolak sebuah troli berisi pelbagai keperluan asas sepanjang perjalanan sejauh 165 kilometer ke Kuala Terengganu yang mengambil masa tujuh hari.

Ketibaan beliau di pekarangan Jambatan Angkat di sini pada 3 petang kelmarin disambut dengan tepukan semangat oleh tujuh pesakit kanser cilik dan keluarga mereka serta beberapa ahli Kids dari sekitar pantai timur.

Mukhlis berkata, ini adalah kali kedua beliau melakukan kembara seumpama itu, selepas berjalan dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke Kuantan, Pahang pada tahun lalu.

"Saya memang sukakan aktiviti luar, mendekati alam semula jadi dan kempen ini membolehkan impian saya tercapai untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan mempromosikan Kids agar lebih ramai nasib kanak-kanak pesakit kanser akan terbela.

"Sambutan yang diterima sepanjang kembara saya sangat positif kerana penduduk pantai timur khususnya Terengganu sangat mesra dan tidak lokek menghulur derma untuk Kids," katanya kepada pemberita.

Katanya, beliau telah mengumpul lebih RM300 wang tunai daripada orang ramai selain derma dalam talian.

Menurut bapa kepada empat anak itu, beliau bersyukur kerana cuaca yang redup dan kadang-kadang hujan, sangat memudahkannya untuk menuju ke destinasi tertentu mengikut jadual yang ditetapkan.

MUKHLIS memulakan kembaranya pada 25 Disember lalu di Kota Bharu, Kelantan dengan membawa troli berisi pelbagai keperluan asas. FOTO BERNAMA
MUKHLIS memulakan kembaranya pada 25 Disember lalu di Kota Bharu, Kelantan dengan membawa troli berisi pelbagai keperluan asas. FOTO BERNAMA

Mukhlis, yang juga mempunyai tiga cucu, berharap kembara dan kempen dijalankannya dapat memberi motivasi kepada orang lain untuk memberi sumbangan kepada Kids mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing.

"Semoga sedikit pengorbanan masa dan tenaga ini mampu mengembalikan senyuman untuk kanak-kanak penghidap kanser agar lebih ramai tahu mengenai mereka dan sudi menghulurkan bantuan kepada Kids," katanya yang kehilangan tiga orang kakak akibat kanser.

Sementara itu, Pengerusi Kids, Hamidah Tajudin berkata, kempen itu yang bermula tahun lalu menunjukkan impak positif apabila semakin ramai yang peka dengan kewujudan Kids dan selalu menghulurkan pelbagai bantuan seperti susu khas dan lampin pakai buang.

"Kids ditubuhkan pada 2016 hasil inisiatif ibu bapa anak yang menghidap kanser menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, bertujuan memberi sokongan kepada ibu bapa dan anak ini terutama kepada golongan B40.

"Setakat ini, hampir 1,000 pesakit dari seluruh Malaysia telah berdaftar dengan Kids dan kami bersyukur kerana sentiasa mendapat bantuan daripada syarikat korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan," katanyayang kehilangan anak bongsu lelaki akibat kanser darah tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 7:00 AM