LIAM Garner berjaya menjelajah benua Amerika dengan merentasi 14 negara dalam tempoh 527 hari. FOTO TikTok @liamtheimpaler
LIAM Garner berjaya menjelajah benua Amerika dengan merentasi 14 negara dalam tempoh 527 hari. FOTO TikTok @liamtheimpaler
Agensi

Washington: Tiada latihan khusus dan persediaan rapi bukan penghalang buat Liam Garner, 17, melakukan kembara berbasikal hingga berjaya menjelajah benua Amerika dengan merentasi 14 negara dalam tempoh 527 hari.

Remaja itu memulakan kembaranya dari Alaska ke Argentina sejauh kira-kira 32,000 kilometer selepas menamatkan sekolah menengah.

Dia memilih Lebuhraya Pan-Amerika yang menghubungkan hampir semua negara yang bersempadan dengan Lautan Pasifik di Amerika Utara, Tengah dan Selatan yang memegang rekod untuk jalan bermotor terpanjang di dunia.

LIAM Garner memulakan kembaranya dari Alaska ke Argentina sejauh kira-kira 32,000 kilometer selepas menamatkan sekolah menengah. FOTO TikTok @liamtheimpaler
LIAM Garner memulakan kembaranya dari Alaska ke Argentina sejauh kira-kira 32,000 kilometer selepas menamatkan sekolah menengah. FOTO TikTok @liamtheimpaler

Garner berkata, dia sebenarnya tidak bersedia melakukan jelajah basikal itu namun keazaman melihat dunia luar menguatkan semangatnya.

"Hari saya mula melakukan perjalanan basikal saya di Alaska, ia adalah hari pertama saya menunggang basikal dalam lebih tujuh bulan.

"Pada asalnya tujuan kembara ini hanyalah untuk membuktikan kepada diri saya sendiri, walaupun jika saya memilih sesuatu yang tidak masuk akal dan mustahil untuk dicuba, saya boleh melakukannya dengan keazaman tinggi.

"Sebenarnya saya hanya mahu menemui diri saya dan mempelajari lebih tentang dunia.

"Sesiapa sahaja boleh melakukan apa yang saya lakukan. Anda hanya perlu mulakan," katanya kepada NowThis.

Garner berkongsi kemas kini perjalanannya berkata, kembaranya di TikTok yang mendapat tontonan jutaan kali.

Selain kekurangan latihan, Garner memilih untuk tidak berhenti, sebaliknya memilih untuk mencari tempat penginapan setiap malam apabila matahari mula terbenam.

Katanya, antara cabaran utama ialah aspek keselamatan kerana pernah dirompak lima kali sepanjang kembara berkenaan.

"Semuanya berlaku sama ada saya sedang tidur atau hanya (ada) mengambil barang dari beg saya atau menyeluk saku.

"Syukurlah, saya sentiasa dapat menghubungi ibu yang dapat membantu saya (untuk menyelesaikan) masalah," katanya.

PENGALAMAN kembara Liam Garner dimuat naik  TikTok yang mendapat tontonan jutaan kali. FOTO TikTok @liamtheimpaler
PENGALAMAN kembara Liam Garner dimuat naik TikTok yang mendapat tontonan jutaan kali. FOTO TikTok @liamtheimpaler

Garner berkata, selepas kejayaan ini, dia merancang menghabiskan enam bulan untuk mengembara dari Argentina ke Los Angeles bersama teman wanitanya.

"Saya berharap kisah saya ini memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencari pengalaman baharu dan mengenali dunia luar.

"Jika semua orang dapat melihat dunia dan bertemu semua orang di dalamnya, saya rasa ia akan menjadi tempat yang lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 9:07 AM