Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang penjaga pusat jagaan anak yatim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 100 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua beradik kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya sejak hujung tahun lalu hingga April lalu.

Tertuduh, Emeer Ahmad Ahmad Jaafar, 35, yang juga seorang peniaga mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini

Tertuduh yang juga setiausaha rumah jagaan anak yatim itu didakwa dengan 100 pertuduhan membabitkan amang seksual termasuk menunjuk kemaluan terhadap dua beradik masing-masing berusia 10 dan 13 tahun itu.

Mangsa adalah penghuni pusat jagaan yang terletak di Bandar Cyber Botani di sini.

Emeer didakwa melakukan perbuatan itu di beberapa lokasi berbeza termasuk di pusat jagaan terbabit, sebuah apartmen di Cameron Highlands, serta di rumah tertuduh sendiri yang terletak di Taman Magosa, Botani, di sini antara 1 November 2020 hingga 9 April lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 15(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail dengan tertuduh diwakili peguam Robert S Gnanarajan.

Mohd Waffy tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana berdasarkan kes ia menunjukkan perbuatan berulang, selain menggambarkan tertuduh seorang yang cenderung terhadap kelakuan pedophilia.

Robert bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan ia kesalahan yang boleh dijamin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 dan menetapkan 3 September depan bagi sebutan semula.

Sementara itu, prosiding dijalankan dengan kesemua pihak terbabit termasuk tertuduh, hakim, pihak pendakwaan, peguam, polis, jurubahasa mahkamah, dengan dibantu tiga petugas kesihatan memakai set lengkap pakaian pelindung diri (PPE) selain disusuli proses sanitasi.

Ia berikutan tertuduh selesai menjalani kuarantin pada 27 Mei lalu selepas disahkan positif jangkitan Covid-19.

Manakala petugas media pula ditempatkan dalam kamar perbicaraan yang berbeza namun dibenar menyaksikan perbicaraan melalui tayangan siaran langsung.

Difahamkan tarikh sebutan semula yang ditetapkan tiga bulan daripada tarikh hari ini adalah selepas mengambil kira tempoh 90 hari kemungkinan virus Covid-19 masih berada dalam badan manusia seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan.

EMEER Ahmad Ahmad Jaafar (depan) yang diiring sambil mengenakan PPE ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
EMEER Ahmad Ahmad Jaafar (depan) yang diiring sambil mengenakan PPE ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 1:29 PM