GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenal pasti hampir 10 lokasi 'hotspot' sebagai kawasan berisiko banjir susulan fenomena luruan monsun yang dijangka bermula esok hingga 3 Januari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Noorazam Datuk Osman berkata, lokasi yang terletak berhampiran sungai itu membabitkan Kampung Md Amin, Kampung Pasir dan beberapa kampung di sekitarnya, selain 54 kawasan penempatan setinggan di sekitar bandar raya itu.

Menurutnya, sistem tebatan banjir di kawasan tumpuan sudah dibina termasuk kerja meninggikan tembok parit sedia ada, selain memasang 'flap valve' bagi mengelakkan air masuk atau melimpah ke kawasan 'hotspot' banjir.

"Pelaksanaan turut membabitkan pembinaan ban banjir dan menaik taraf kapasiti pam sedia ada di Sungai Chat.

"Selain itu, pembinaan sistem pam baharu di kawasan penempatan penduduk dan memasang perangkap sampah disebabkan sampah domestik serta pokok tersangkut di pembentung utama.

"Pada masa sama, pembuangan sampah ke dalam sungai khususnya di kawasan penempatan setinggan dilihat semakin serius yang menjurus kepada berlakunya banjir walaupun kerja pembersihan saliran, parit dan sungai dilakukan.

"Misalnya, kira-kira satu tan plastik sampah sehari dikutip oleh kontraktor yang dilantik MBJB di Sungai Tebrau di sini, malah kutipan sampah ini konsisten, bermakna setiap hari ada berlakunya pembuangan sampah," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Skuad Kilat MBJB di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini, hari ini.

Noorazam berkata, sehubungan itu, masyarakat digalak untuk menjadikan pembersihan sungai sebagai satu gaya hidup, sekali gus tidak menjadikan sungai sebagai 'pintu belakang'.

Pada program berkenaan, penubuhan Skuad Kilat MBJB itu terdiri daripada 300 anggota dari lapan unit tindakan menerusi jabatan dalaman MBJB yang bertindak terhadap aduan awam bersifat kecemasan termasuk bencana alam.

Katanya, Skuad Kilat MBJB juga bertindak sebagai sokongan dalam melaksanakan tindakan bantuan termasuk sokongan kepada usaha dijalankan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 4:25 PM