GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi kesemua sekolah agama di Johor akan bermula pada tarikh baharu iaitu 9 Januari hadapan, berbanding 2 Januari mengikut ketetapan awal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, bagaimanapun sesi persekolahan bagi Tadika Agama Johor (TAJ) dibenarkan beroperasi pada 2 Januari ini.

"Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor bersetuju untuk menimbal balik tarikh baharu sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 pada 9 Januari.

"Ketetapan ini adalah membabitkan semua Institusi Pendidikan Islam Negeri Johor," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari ini bagi Kumpulan A dan 3 Januari bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.

Radzi berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Januari dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:34 PM