Rosman Shamsudin


Slim River: Penangguhan pembukaan sekolah dimanfaatkan murid pra sekolah untuk berkebun di halaman dan belakang rumahnya di Taman Slim Permata, dekat sini.

Muhammad Afiq Aryan Rosman, 6, yang juga murid pra sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Keledang menjadikan hobinya itu sebagai memenuhi masa terluangnya terutama ketika waktu pagi dan petang.

Menurutnya, keadaan cuaca yang semakin baik memudahkannya menjaga dan menanam sayuran jika dibandingkan sebelum ini hujan turun tidak henti-henti menyebabkan sayuran ditanam rosak.

"Cuti ini memang ada kerja sekolah yang cikgu beri tetapi biasanya saya akan buat selepas selesai berkebun.

"Saya pilih untuk tanam kangkung kerana ia mudah ditanam dan dijaga. Hanya perlu siram mengikut masa," katanya memberitahu, cuti sekolah yang dilanjutkan memberikan lebih masa untuknya berkebun.

Muhammad Afiq manafaat cuti sekolah sambil memetik hasil tanaman bendi di belakang rumah dekat Taman Slim Permata, Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Muhammad Afiq manafaat cuti sekolah sambil memetik hasil tanaman bendi di belakang rumah dekat Taman Slim Permata, Slim River. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN

Katanya, kangkung di belakang rumah bakal dituai pada minggu hadapan dan dia seperti biasa akan meneruskan aktivitinya dengan bersedekah sayuran berkenaan kepada jiran.

"Kangkung yang baharu ditanam mengambil masa dua minggu kerana ia baru ditanam seminggu yang lalu. Setakat ini, bendi sudah mengeluarkan hasil dan saya gembira apabila dapat petik sendiri," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Januari dan 3 Januari 2022 ditangguhkan selama seminggu.

Ini bermakna sesi persekolahan akan bermula pada 9 Januari dan 10 Januari 2022 bagi kumpulan A dan kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 2:10 PM