TINGKAT satu Sekolah Kebangsaan Temai Pekan dinaiki air berikutan limpahan Sungai Pahang ketika tinjauan 23 Disember lalu. Sekolah itu turut digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir. FOTO Farizul Hafiz Awang
TINGKAT satu Sekolah Kebangsaan Temai Pekan dinaiki air berikutan limpahan Sungai Pahang ketika tinjauan 23 Disember lalu. Sekolah itu turut digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mangsa banjir. FOTO Farizul Hafiz Awang
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan sekiranya terdapat mana-mana sekolah menangguhkan sesi penggal ketiga 2021/2022 persekolahan yang akan bermula Januari depan.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bergantung kepada keadaan termasuk jika ada sekolah yang masih tidak bersedia disebabkan mengalami kerosakan teruk akibat banjir.

Menurutnya, beliau sudah mengadakan lawatan ke sekolah di Sri Muda, Shah Alam dan Putra Heights yang terjejas terukdan mendapati bahagian bawah sekolah yang dinaiki air menjejaskan peralatan seperti perabot, komputer dan buku teks.

Katanya, KPM sudah membuat keputusan agar perkara ini diberi perhatian segera supaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin sebelum sesi persekolahan dibuka.

"Kita harap pihak sekolah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)untuk memperincikan keperluan persekolahan yang rosak bagimemudahkan KPM menyalurkan bantuan," katanya kepada media selepas menghadiri Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.

Program anjuran Perikatan Nasional (PN) Putrajaya ini disertai 100 kanak-kanak dari kawasan ini.

RADZI (kanan) pada Program Berkhatan Komuniti Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad
RADZI (kanan) pada Program Berkhatan Komuniti Putrajaya. FOTO Samadi Ahmad

Sebelum ini, KPM menetapkan sesi penggal ketiga bermula pada 2 Januari 2022 bagi sekolah Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B, namun ia ditangguhkan selama seminggu berikutan banjir besar yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

Berikutan itu, sesi persekolahan bagi sekolah Kumpulan A akan bermula pada 9 Januari 2022 dan keesokannya bagi Kumpulan B.

Radzi berkata, KPM masih meneruskan pelaksanaan sistem penggiliran kehadiran murid apabila sesi persekolahan dibuka kelak.

"Sistem penggiliran ini perlu bagi memastikan sesi pembukaan persekolahan berlangsung secara teratur dan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 11:34 AM