BERNAMA

Kuala Lumpur: Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Januari dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Januari ini.

"Sepertimana yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan bermula 2 Januari 2022 bagi Kumpulan A dan 3 Januari 2022 bagi Kumpulan B.

"Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang membabitkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

"...juga membabitkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk," katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau.

Radzi berkata maklumat lanjut mengenai penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru, murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 3:41 PM