FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak sudah mempersiapkan sejumlah 432 tan barang keperluan sejak Oktober lalu sebagai persediaan menghadapi banjir.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia penting bagi menampung keperluan luar jangka kepada mangsa banjir dan semua barang keperluan berkenaan ditempatkan di depo simpanan JKM Sarawak di Kota Samarahan.

Katanya, barangan keperluan berkenaan turut disimpan di 23 pangkalan hadapan bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada mangsa, terutama di kawasan pedalaman.

"Depo simpanan JKM menyimpan semua barangan yang diperlukan mangsa banjir terutama makanan kering, makanan dalam tin, lampin pakai buang, selimut, kain pelikat, kain batik serta tuala wanita.

"Semua barangan berkenaan disimpan di depo serta pangkalan hadapan sejak Oktober lalu dan ia mampu bertahan selama enam bulan dalam simpanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fatimah berkata, 23 pangkalan hadapan yang sudah menempatkan barangan keperluan itu ialah enam di Kuching iaitu di Kampung Semilang, Kampung Beradik, Kampung Melayu Seberang Buso, Kampung Bogag dan Kampung Suba Buan.

Menurutnya, pangkalan hadapan lain ialah di Banting, Lingga (Sri Aman); Sekolah Kebangsaan Nanga Dayu, Pakan (Sarikei); Nanga Baoh dan Kampung Kelid Sua (Mukah); Rumah Panjang Ado, Klinik Tap Timber dan Rumah Panjang Dilang Ulu Anap (Bintulu) serta Long Teran Kanan, Long Teran Kiri, Long Bemang, Long Loyang, Long Iman, Long Ikang, Long Jegan dan RAC Mulu (Miri).

"JKM juga sudah menyediakan 631 pusat pemindahan sementara (PPS) yang sedia diaktifkan bila-bila masa jika banjir melanda," katanya.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana (JKOB) Sarawak sudah diaktifkan sepenuhnya sejak seminggu lalu.

Katanya, ia berikutan ramalan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa bahagian di negeri ini.

Berdasarkan laporan laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak, Ahad ini.

Keadaan itu akan menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan.

Ia dikhuatiri boleh menyebabkan banjir terutama di wilayah tengah dan barat Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 3:52 PM