Mohd Roji Kawi


KUALITI udara di Sarawak semakin terjejas dengan jumlah kawasan yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat sekali ganda berbanding hanya tiga kawasan, semalam.

Kawasan yang mencatat IPU tidak sihat pagi ini ialah Sri Aman (166), Samarahan (120), Kuching (125), Sarikei (109), Sibu (123) dan Miri (133).

Tujuh lagi Stesen Pengawasan Udara Automatik mencatat bacaan sederhana iaitu SK Baram 2 (70), Bintulu (79), Samalaju (71), Mukah (99), Kapit (65), (Limbang (62) dan ILP Miri (81).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, keadaan jerebu yang semakin serius hari ini berpunca pergerakan angin dari wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS), terdapat empat tompok panas dikesan di Sarawak iaitu Betong, Serian, Bintulu dan Miri.

“Keadaan jerebu ini diburukkan oleh pergerakan angin dari Kalimantan Barat yang terdapat 455 tompok panas dikesan di wilayah itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan berjerebu itu turut menjejaskan penglihatan dengan di bandar raya Kuching hanya mencatatkan jarak penglihatan 1.2 kilometer (km).

“Maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan jarak penglihatan di Miri, Limbang dan Sibu berada pada jarak 6 km.

“Mulu pula 7km, Sri Aman dan Bintulu 8 km manakala Kapit 10km,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 11:36 AM
PELANCONG dari Pulau Pinang, Mohd Ghouse Mohamad Shah, 64 dan Tajul Ariffin Md Eusoff, 64 melawat Tebingan Kuching walaupun kualiti udara di Bandaraya Kuching menunjukkan IPU  tidak sihat. FOTO MOHD RADZI BUJANG
PELANCONG dari Pulau Pinang, Mohd Ghouse Mohamad Shah, 64 dan Tajul Ariffin Md Eusoff, 64 melawat Tebingan Kuching walaupun kualiti udara di Bandaraya Kuching menunjukkan IPU tidak sihat. FOTO MOHD RADZI BUJANG