Mahaizura Abd Malik


Putrajaya: Sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka bermula 3 Oktober depan akan menggunakan sistem penggiliran dengan kehadiran 50 peratus kapasiti daripada jumlah sebenar murid dan pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, murid dan pelajar akan dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut minggu dengan kapasiti kelas dihadkan kepada 50 peratus.

Katanya, pendekatan itu bagi memastikan semua ekosistem murid dan pelajar yang hadir ke sekolah selamat.

"Sebagai contoh, Kumpulan A akan hadir ke sekolah pada minggu pertama manakala Kumpulan B menjalani PdP di rumah.

"Bagi minggu kedua sistem itu akan bertukar kepada Kumpulan B yang akan hadir ke sekolah manakala Kumpulan A belajar di rumah.

"Sistem ini akan berterusan mengikut keadaan semasa dan akan diberitahu kemudian jika ada sebarang perubahan," katanya.

Beliau berkata, beberapa kumpulan pelajar akan dikecualikan daripada menggunakan sistem penggiliran ini.

"Kumpulan yang perlu hadir ke sekolah seperti biasa tanpa penggiliran ialah Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas (SMKPK), sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV), sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Murid tingkatan enam sementer dua dan IBD tahun dua, murid di sekolah asrama penuh, murid kelas peperiksaan antarabangsa.

"Selain itu, murid prasekolah, tadika swasta, pusat pemkembangan minda umur empat hingga enam tahun serta sekolah kurang murid iaitu kapasiti kurang 150 murid," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 5:01 PM