Mohd Amin Jalil


Tampin: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang pertimbangkan untuk melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah bagi kumpulan pelajar kelas peperiksaan tanpa penggiliran.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari segi kadar vaksinasi dalam kalangan pelajar berkenaan.

"Sebagaimana kita tahu, pelajar sudah mula masuk ke sekolah dan prosedur operasi standard (SOP) juga didapati dilaksanakan dengan baik, namun begitu ada kumpulan pelajar di mana kita mungkin tidak akan adakan penggiliran.

"Dalam hal ini, mungkin kita (KPM) akan adakan bagi pelajar kelas peperiksaan terlebih dulu sepertimana yang kita laksanakan terhadap pelajar yang menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua tempoh hari.

"Namun begitu, memandangkan jumlah yang terbabit adalah agak besar, jadi kita sedang berbincang dengan KKM untuk melihat apakah kadar vaksinasi yang membolehkan pelajar tingkatan lima boleh dibawa masuk tanpa penggiliran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun, sempena pembukaan sekolah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah KPM, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid dan Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof .

Radzi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SK Tengku Zainun, Tampin hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin
Radzi (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan kerja di SK Tengku Zainun, Tampin hari ini. Foto Azrul Edham Mohd Aminuddin

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan vaksinasi pelajar berkenaan setiap hari.

Beliau berkata, setakat ini lebih 97 peratus pelajar tingkatan lima di seluruh negara sudah menerima suntikan dos pertama Covid-19, manakala mereka yang sudah melengkapkan dua dos kira-kira 50 peratus.

"Jadi, kita sedang memantau keadaan vaksinasi pelajar kelas peperiksaan ini dan jika sudah sampai ke tahap tertentu, dan dirasakan sesuai untuk membawa mereka balik tanpa penggiliran, maka kita akan laksanakannya.

"Namun begitu pada waktu ini kita masih lagi memantau," katanya.

Mengenai kehadiran pelajar Fasa 4 PPN, beliau berkata, pelajar yang hadir bagi Kumpulan B hari ini membabitkan Negeri Sembilan dan Labuan serta Langkawi, Kedah, pada semalam.

"Ia membabitkan pelajar tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah (SM), manakala murid tahun satu, dua dan tiga bagi SK," katanya.

Radzi berkata, secara keseluruhannya pelajar dan murid yang hadir ke sekolah berjalan dengan lancar dan baik di mana jumlah kehadiran mereka pada tahap memuaskan dengan mengambil kira hari pertama persekolahan bersemuka.

Beliau berkata, keseluruhannya seramai 340,000 orang pelajar atau murid sudah hadir ke sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, ia satu proses kemasukan berperingkat yang kita laksanakan untuk memastikan SOP itu dapat dilaksanakan dan dipatuhi dengan baik.

"Jika ada keperluan kita (KPM) akan melakukan penambahbaikan terhadap SOP sebelum kumpulan berikutnya mula memasuki sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 11:19 AM