ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang cedera. FOTO Mohd Adam Arinin
ANGGOTA bomba mengusung mangsa yang cedera. FOTO Mohd Adam Arinin
Junaidi Ladjana

Kota Kinabu: Lelaki melecur hampir 80 peratus selepas api dari dapur gas merebak ketika dia memasak air di biliknya di bangunan Kompleks Segama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa berusia 30-an melecur di muka hingga lutut dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang memasak air sebelum tiba-tiba api dari dapur gas merebak.

"Akibat kejadian itu, mangsa melecur hampir 80 peratus di muka hingga lutut dan dikejarkan ke HQE untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Jamaluddin Hussin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian keadaan api sudah dipadamkan.

"Anggota bomba kemudian membuat pemeriksaan di bilik berkenaan dan mendapati ada tong gas berhampiran dengan katil mangsa dan terdapat kesan kebakaran pada langsir di bilik berkenaan.

"Pembersihan kemudian dijalankan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingin berlaku dan operasi tamat jam 3.35 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 9:33 PM